273 babi dijangkit ASF dilupus Rabu ini

273 babi dijangkit ASF dilupus Rabu ini

Proses pelupusan haiwan tersebut dilakukan di lokasi sejauh enam kilometer dari ladang yang dijangkiti.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir berkata, pelupusan menggunakan kaedah gas karbon dioksida berasaskan garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan-Pengurusan Pelupusan Haiwan.
PORT DICKSON:
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) akan melupuskan 273 ekor babi yang dijangkiti penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Rabu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir berkata, proses pelupusan haiwan tersebut dilakukan di lokasi sejauh enam kilometer dari ladang yang dijangkiti.

“Pelupusan haiwan itu menggunakan kaedah gas karbon dioksida berasaskan garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan-Pengurusan Pelupusan Haiwan, sebelum ditanam secara sempurna.

“Proses pelupusan ini mengambil masa kira-kira lima hingga 10 minit dan bangkai haiwan tersebut akan ditanam dengan kedalaman sehingga 12 meter,” katanya kepada pemberita.

Katanya, antara agensi terlibat dalam proses pelupusan adalah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Kesihatan (KKM), polis dan Jabatan Sukarelawan (RELA).

Dalam pada itu, Pengarah JPVNS, Dr Redzuan Ibrahim berkata, terdapat 19 ladang di kawasan terbabit menjalankan penternakan tanpa lesen yang melibatkan anggaran 2,000 ekor babi dan kadar kebolehjangkitan ASF terhadap haiwan tersebut sangat tinggi.

Katanya, penternak diminta segera melaporkan kepada JPVNS sekiranya ternakan mereka menunjukkan tanda jangkitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.