
Beliau berkata, rata-rata rakyat mahu RUU itu dikuat kuasa sebelum PRU15, justeru Ismail yang juga naib presiden Umno harus memastikan segala perbezaan pendapat mengenai undang-undang itu diatasi dan ia diluluskan di Dewan Rakyat pada kadar segera.
Katanya, jika kerajaan dilihat tidak bersungguh-sungguh memastikan kejayaan RUU itu, Umno berisiko menjadi ‘kambing hitam’ dan dituduh bersubahat melengahkan pembentangan RUU Anti-Lompat Parti.
Tonton video di sini.
“Sudah tentu kepimpinan Umno tidak mahu rakyat salahkan Umno (jika RUU tertangguh) sebab PM dari Umno,” katanya kepada FMT.
Pembentangan RUU Anti-Lompat Parti sebelum ini dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat esok, setelah ditangguhkan pada 24 Mac lalu.
Penangguhan itu dikaitkan dengan pelbagai pihak dalam kerajaan membantah beberapa aspek undang-undang itu, termasuk istilah lompat parti itu sendiri dan tindakan yang boleh dikenakan terhadap wakil rakyat terbabit.

Sebaliknya kerajaan dijadualkan bentang hanya pindaan kepada Perlembagaan yang berkait dengan RUU itu.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pembentangan undang-undang anti lompat parti itu ditunda ke tarikh yang akan ditetapkan.
Penangguhan itu mencetuskan pelbagai reaksi. Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, bertanya sama ada wujud “gunting dalam lipatan” di sebalik penangguhan RUU itu.
Perikatan Nasional (PN) yang menyertai kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ Ismail, pula mahu istilah ‘lompat’ dalam RUU berkenaan diteliti lebih lanjut sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Awang Azman berkata parti seperti Umno dan PKR yang amat terkesan dengan fenomena lompat parti susulan PRU14, jelas mahu RUU itu dilaksanakan secepat mungkin, khususnya, sebelum PRU akan datang.
Beliau tidak menolak kemungkinan penangguhan terbaharu itu menambah kesangsian bahawa tidak semua pihak dalam kerajaan sekarang memberi sokongan sepenuhnya terhadap undang-undang itu dilulus dan dilaksanakan secepat mungkin.
“Dalam Kabinet, terdapat ramai ahli Parlimen yang melompat parti. Bagaimana mereka akan bersetuju untuk menggubal undang-undang anti lompat parti?” katanya, yang juga felo penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).

Seorang lagi penganalisis, Yusri Ibrahim bimbang penangguhan RUU itu jika dibiarkan akan menyuburkan kelesuan politik dalam kalangan rakyat.
“Bila ada cadangan pembentangan RUU Anti-Lompat Parti, ada sedikit harapan kepada rakyat, menjelang PRU15. Jika RUU ini gagal dibentang dan diluluskan, rakyat tak lagi percaya dan ini akan melebarkan kelesuan politik dalam kalangan rakyat.
“Jika amalan lompat parti berterusan, kita akan berdepan dengan sebuah lagi kerajaan yang rapuh, yang tiada kuasa mutlak untuk mentadbir negara. Ugut-mengugut akan diteruskan dan amalan melompat-lompat akan berlaku sehingga menumbangkan sesebuah kerajaan,” katanya, yang juga ketua penyelidikan Ilham Center.