Pemilihan PKR: Lebih 8,000 pencalonan bahagian diterima

Pemilihan PKR: Lebih 8,000 pencalonan bahagian diterima

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Zaliha Mustafa berkata pencalonan secara dalam talian menerusi aplikasi Adil selama tiga hari berjalan lancar.

Zaliha Mustafa (tiga dari kiri) melawat pusat pencalonan fizikal pemilihan PKR di Dewan Ilmu, Perpustakaan Komuniti MBPJ, Petaling Jaya semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Lebih 8,000 permohonan diterima untuk pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 melibatkan jawatan peringkat bahagian di seluruh negara setakat 1 tengah hari tadi, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Zaliha Mustafa.

Ketika dihubungi Bernama, beliau berkata pencalonan yang dilaksanakan secara dalam talian menerusi aplikasi Adil yang bermula Jumaat lepas dan berakhir hari ini berjalan lancar.

Memandangkan proses pencalonan bagi pemilihan PKR dijalankan buat julung kalinya menerusi aplikasi itu, beliau berkata, berlaku sedikit masalah teknikal kerana ia merupakan sistem baharu, namun kaedah melalui aplikasi itu tetap dimanfaatkan sebaik mungkin oleh ahli terlibat.

“Ahli-ahli pun tidak biasa guna. Bagaimanapun, bagi memudah cara proses pencalonan, PKR membuka pusat pencalonan secara fizikal di setiap negeri bagi membantu ahli yang ingin mencalonkan diri mereka melalui aplikasi Adil,” katanya sambil menambah pencalonan bagi peringkat bahagian PKR menerusi Adil akan ditutup 12 tengah malam ini.

Di Negeri Sembilan, Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Nazri Kassim berkata, hampir 90% pencalonan dilakukan secara dalam talian.

“Senarai penuh berkenaan jumlah pencalonan, termasuk peratusan muka baharu dan lama belum diperoleh, memandangkan masih ada masa hingga 12 tengah malam ini untuk ahli mengisi pencalonan.”

Di Melaka, jurucakap PKR Melaka berkata, kira-kira 50 hingga 60 ahli menggunakan kemudahan disediakan pejabat perhubungan parti itu di Gangsa, Durian Tunggal bagi mengisi borang pencalonan sejak ia mula dibuka Jumaat lepas.

Beliau berkata, kemudahan itu disediakan pejabat perhubungan bagi ahli yang tidak tahu mengisi borang pencalonan dalam talian, malah ada juga ahli parti berkumpul sesama mereka untuk mendaftar secara berkumpulan, selain ada yang mengisinya di rumah.

Di Terengganu, Setiausaha PKR negeri, Wan Bukhari Wan Muhammad berkata, ramai yang memuji kelancaran proses pencalonan menggunakan kaedah baharu, iaitu aplikasi Adil kerana ia lebih mudah, telus dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa.

“PKR Terengganu sangat berpuas hati dengan kerjasama diterima daripada pimpinan pusat dan calon yang bertanding dalam pemilihan kali ini. Semoga kempen juga akan berjalan dengan baik tanpa sebarang provokasi.”

Walaupun PKR Terengganu belum mengetahui senarai muktamad calon di lapan bahagian negeri itu, beliau berkata, pemantauan melalui media sosial mendapati kempen yang dijalankan calon masih dalam ruang lingkup dibenarkan parti.

Di Kelantan, Pengerusi MPN, Mohd Supardi Md Noor berkata, proses pencalonan selama tiga hari itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah, walaupun mengalami sedikit gangguan teknikal ketika ahli mahu mengakses masuk aplikasi Adil.

Di Perlis, proses pencalonan berjalan dengan teratur dan Ketua Wanita PKR negeri, Gan Ay Ling berkata, pihaknya tidak menerima sebarang rungutan daripada mana-mana pihak berhubung pelaksanaan proses pencalonan itu setakat ini.

“Kaedah pencalonan diguna pakai kali ini memudahkan semua pihak, malah proses bantahan juga dapat dilakukan secara dalam talian selepas ini. Jika tidak, sebelum ini ramai keliru melakukan proses bantahan sehinggakan menimbulkan pelbagai masalah,” katanya sambil berharap setiap calon bertanding secara sihat dan tidak membuat sebarang provokasi.

Di Kedah, proses pemilihan juga berjalan lancar dan koordinator Kedah JPP, Rashid Din berkata, senarai muktamad pencalonan dijangka dikeluarkan 19 April ini, selepas proses bantahan dan rayuan.

“Data semua ada pada Ibu Pejabat JPP, mereka akan satukan semua pencalonan yang diterima sebelum maklumkan kepada kami di peringkat negeri,” katanya.

Di Pulau Pinang, Pengerusi PKR negeri, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, beliau belum mendapat maklum balas terperinci daripada JPP, termasuk senarai penuh berhubung pencalonan kerana proses masih berjalan sehingga tengah malam ini.

“Pemilihan PKR di negeri ini melibatkan 13 bahagian. Setakat semalam, pencalonan ketua bahagian telah selesai, kecuali Kepala Batas dan Permatang Pauh. Saya rasa mereka akan jalankan hari ini,” katanya.

Di Selangor, Setiausaha MPN, Hamidi A Hasan berkata, proses pencalonan di semua 22 bahagian seluruh negeri itu berjalan lancar, sama ada dalam talian mahupun fizikal.

Ketua PKR Bahagian Kuala Selangor, Juwairiya Zulkifli ketika dihubungi melalui WhatsApp mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan di bahagian itu dan setakat ini, beliau menjangkakan pertandingan empat penjuru.

Terdahulu, bekas ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengesahkan telah menghantar pencalonan untuk bertanding jawatan ketua PKR Gombak semalam.

Setakat ini, katanya, beliau akan berdepan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang merupakan penyandang jawatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.