‘Dipinang’ jadi calon PRU15, Norhizam sasar Parlimen Hang Tuah Jaya

‘Dipinang’ jadi calon PRU15, Norhizam sasar Parlimen Hang Tuah Jaya

Bekas ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee mahu bertanding atas tiket parti pada PRU15.

Bekas Exco Melaka, Norhizam Hassan Baktee tidak mahu mengulangi episod kekalahan dalam PRN Melaka selepas bertanding sebagai calon bebas.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee berhasrat bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), selepas mengambil kira khidmat “cemerlangnya” sebelum ini.

Beliau terpaksa mengakui hakikat perlu bergerak atas tiket parti kerana tidak mahu mengulangi episod kekalahan dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka selepas bertanding sebagai calon bebas.

Norhizam turut mengakui dirinya telah “dipinang” oleh beberapa parti politik untuk menjadi ahli, sekali gus ditawarkan sebagai calon PRU15.

“Saya ada rekod cemerlang sebagai wakil rakyat Pengkalan Batu dan Exco kerajaan Melaka, jadi perkara ini menjadi alasan kuat untuk bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya dalam PRU15. Apatah lagi, rakyat mahu saya buat ‘come back’ dalam politik.

“Insya Allah, kalau ikutkan mahu bertanding kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, namun perlu ada rumah (parti). Kalau tiada rumah, sukarlah untuk menang seperti dilalui PRN Melaka, meskipun saya cemerlang di DUN Pengkalan Batu,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya kini disandang Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Pada PRN Melaka, Norhizam gagal mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Batu sebagai calon bebas. Beliau memenangi kerusi itu pada PRU14 atas tiket DAP.

Beliau antara seorang daripada empat ADUN Melaka yang menyebabkan kerajaan negeri tumbang sehingga menyebabkan DUN dibubarkan pada 4 Okt 2021, sekali gus membuka laluan kepada PRN Melaka.

Dalam pada itu, Norhizam enggan mendedahkan parti yang menawarkan beliau menjadi ahli dan calon PRU15 kerana perkara itu masih di peringkat perbincangan mulut.

Katanya, beliau terbuka untuk menerima tawaran mana-mana parti, asalkan ia dibuat melalui perjanjian hitam putih, bukannya sekadar cakap mulut.

“Offer (tawaran sertai parti) itu banyak, tapi tengoklah. Namun saya bersedia untuk jadi ahli DAP semula ataupun Umno kerana bagi saya, parti politik ini tidak pernah salah, yang salah adalah kepimpinan parti itu sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.