Keluarga bayar RM10,000 untuk bebaskan remaja Malaysia daripada sindiket Myanmar

Keluarga bayar RM10,000 untuk bebaskan remaja Malaysia daripada sindiket Myanmar

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Michael Chong berkata, remaja itu dibebaskan susulan tekanan daripada media.

Michael Chong berkata, remaja berusia 15 tahun itu dijanjikan pekerjaan di Johor, tetapi sebaliknya dibawa ke Myanmar melalui laluan haram.
KUALA LUMPUR:
Keluarga seorang remaja Malaysia berusia 15 tahun yang diperdaya sindiket jenayah ke Myanmar membayar wang tebusan RM10,000 untuk membebaskannya.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Michael Chong berkata, remaja itu dibebaskan susulan tekanan daripada media.

“Remaja itu kini selamat dan menunggu untuk pulang ke rumah melalui Thailand kerana wang tebusan telah dibayar,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ibu remaja itu memberitahu wartawan, anak lelakinya dibawa beberapa lelaki tempatan pada 23 Mac lalu yang menjanjikan pekerjaan di Johor.

Tetapi, dia sebaliknya dibawa ke Myanmar melalui laluan haram untuk bekerja dengan sebuah sindiket jenayah.

Susulan tekanan akibat liputan media, pihak yang menahan remaja itu bersetuju membebaskannya jika dibayar wang tebusan.

“Mereka mula-mula meminta 300,000 renminbi, tetapi saya berjaya menurunkan jumlah itu kepada RM23,000 dan kemudian RM10,000 untuk pembebasannya,” kata sepupu remaja itu.

Chong berkata, dengan bantuan ahli perniagaan Malaysia di Thailand, remaja itu bersama seorang lagi remaja Malaysia kini selamat dan menunggu untuk pulang ke tanah air.

Dalam perkembangan berasingan, dua lelaki Malaysia yang terpedaya dengan tawaran kerja oleh sindiket jenayah sama di Kemboja diselamatkan polis tempatan melalui usaha Kedutaan Malaysia di Kemboja, polis Malaysia dan Kementerian Luar.

“Mereka antara 10 nama yang kami serahkan kepada Kedutaan Malaysia untuk dibawa pulang ke negara. Kami akan mendapatkan perkembangan lanjut terhadap baki lapan individu.”

Minggu lalu, polis dilaporkan berkata, mereka menerima enam laporan membabitkan 26 mangsa yang diperdaya serta dieksploitasi sindiket untuk bekerja di Thailand, Laos, Myanmar dan Kemboja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.