Kanak-kanak 5 tahun pernah tinggal dengan suspek

Kanak-kanak 5 tahun pernah tinggal dengan suspek

Polis berkata begitu juga dengan seorang wanita tanpa identiti yang mayatnya ditemui di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus, 20 Mac lalu.

Anggota polis membawa bekas mengandungi rangka dipercayai seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di kawasan belukar berhampiran tangki air di Taman Bukit Zamrud, Seremban. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang rangkanya dipercayai ditemui di kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud, Seremban, Khamis lalu dipercayai pernah tinggal bersama suspek wanita yang ditahan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seremban Nanda Maarof berkata, begitu juga dengan seorang wanita tanpa identiti yang mayatnya dijumpai di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus pada 20 Mac lalu.

“Hasil siasatan mendapati kanak-kanak perempuan itu dan mangsa wanita terbabit tidak mempunyai pertalian, namun masing-masing dipercayai pernah tinggal bersama suspek,” katanya ketika dihubungi, menurut laporan Berita Harian.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, polis menemui rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun terlibat dalam operasi pencarian yang dilancarkan sejak 28 Mac lalu.

Media melaporkan polis membawa seorang wanita disyaki ada kaitan dengan penemuan mayat seorang wanita di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus, ke sebuah kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud.

Polis ketika itu enggan mendedahkan tujuan pencarian berkenaan, namun mengesahkan kedua-duanya mempunyai kaitan.

Sementara itu, Nanda berkata, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), termasuk ke atas tengkorak, geraham serta cebisan tulang dijumpai itu, dijangka akan diperoleh dalam tempoh kira-kira seminggu lagi.

Katanya, ujian DNA itu akan menentukan sama ada tulang terbabit sah milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang atau sebaliknya.

“Kita tunggu laporan daripada pihak forensik dan patologi dulu. Keputusan DNA itu berkemungkinan akan diperoleh dalam masa seminggu lagi,” katanya.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.