
Aravindan Balakrishnan meninggal dunia semalam pada usia 81 tahun, lapor BBC.
Lelaki yang berasal dari India itu, menggelar dirinya “Komrad Bala”, mempengaruhi ahli kumpulannya untuk fikir dia mempunyai kuasa seperti Tuhan. Dia menjadi perhatian dunia kerana menahan beberapa wanita di sebuah rumah di London.
Seorang daripada wanita itu ialah rakyat Malaysia, Siti Aishah Wahab, yang diselamatkan polis pada Oktober 2013, selepas ditahan lelaki itu lebih tiga dekad.
Susulan pembebasan itu, polis London menyifatkan kes itu unik dan mereka turut menyiasat “gari ghaib” yang digunakan untuk menahan Aishah serta dua wanita lain.
Aishah dikatakan pelajar cemerlang yang bekerja keras untuk mendapatkan biasiswa bagi melanjutkan pengajian di London pada lewat 1960-an.
Anak jati Negeri Sembilan itu dilapor meninggalkan keluarganya dan berpindah ke UK pada 1968 bersama tunangnya.
Daily Mail melaporkan Aravindan dilahirkan di Kerala, India dan dibesarkan di Singapura sebelum berpindah ke London pada 1963.
Dia menggelar dirinya “sosialis revolusioner” dan menggunakan ucapan penuh meyakinkan untuk merekrut pelajar, termasuk jururawat Malaysia.
BBC melaporkan kumpulan politik Aravindan terkenal di London disebabkan pandangan melampau mereka. Dia menubuhkan Institut Pekerja Pemikiran Marxism-Leninism-Mao Zedong di selatan London pada 1970-an dan meyakinkan pengikutnya untuk fikir dia boleh membaca fikiran mereka.
Dia mempengaruhi mereka untuk percaya terdapat entiti ghaib bernama Jackie yang akan mencetuskan masalah seperti bencana alam, jika mereka tidak mengikut arahannya.