Indonesia sambung misi cari penyelam warga asing terakhir

Indonesia sambung misi cari penyelam warga asing terakhir

Polis berkata, Nathen Renze Chesters, 14, berkemungkinan besar tidak berada di perairan Malaysia, berdasarkan arus dan lokasi dua penyelam yang ditemui awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Khairul Nizam Misran menunjukkan kawasan penyelam warga British dan Perancis yang ditemui selamat di kedudukan 16 batu nautika utara Pulau Bintan atau kira-kira 100km dari lokasi terakhir mereka dilaporkan hilang. (Gambar Bernama)
MERSING:
Op Carilamat bagi mengesan seorang lagi penyelam remaja warga Belanda yang hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, dekat sini, Rabu lepas, ditamatkan pada 1.30 tengah tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Cyril Edward Nuing berkata, ia berikutan hasil maklumat dan siasatan mendapati kedua-dua penyelam warga Britain dan Perancis yang terselamat ditemui di kedudukan 16 batu nautika dari utara Pulau Bintan, Indonesia.

Beliau berkata, kedua-dua penyelam itu ditemui kira-kira 70 batu nautika atau 100km dari lokasi terakhir mereka dilaporkan hilang.

“Daripada maklumat ini, kami berpendapat usaha pencarian (kini) di kawasan (perairan) Indonesia dan operasi dihentikan sementara di perairan Malaysia.

“Rakan setugas kita di Indonesia telah maklum dan mereka akan sambung (operasi) cari di perairan Indonesia. Bagaimanapun, aset-aset kita di laut sentiasa berada dalam keadaan siap siaga,” katanya di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing di sini, hari ini.

Cyril berkata, Nathen Renze Chesters, 14, berkemungkinan besar tidak berada di perairan Malaysia, berdasarkan arus dan lokasi dua penyelam yang ditemui awal pagi tadi.

“Buat masa ini, kita tidak dapat memastikan secara rasmi keadaan Nathen Renze, namun kita meletakkannya sebagai masih hidup, berikutan tidak nampak mayatnya dan diklasifikasikan sebagai orang hilang,” jelasnya.

Beliau berkata, jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem, 35, yang ditemui selamat Khamis lepas juga berada dalam keadaan stabil, namun belum bersedia memberi keterangan.

“Begitu juga keadaan dua penyelam (Adrian Peter Chesters, 46, dan Alexia Alexandra Molina, 18) berada dalam keadaan stabil dan bersemangat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Mersing, Khairul Nizam Misran berkata, meskipun Op Carilamat itu ditamatkan, aset daripada pelbagai agensi yang berada di perairan negara sentiasa dalam keadaan siap siaga dan bersedia membantu pihak berkuasa Indonesia, sekiranya diperlukan.

Adrian Peter dan Alexia Alexandra Molina dijumpai selamat kira-kira 1 pagi tadi.

Grodem pula ditemui selamat dalam keadaan terapung, dilengkapi pakaian dan peralatan menyelam, oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi Khamis lalu.

Dalam kejadian tengah hari Rabu lepas (6 April), empat penyelam warga asing itu dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.