Beri baucar untuk pelajar beli komputer riba, kata PKR

Beri baucar untuk pelajar beli komputer riba, kata PKR

Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung berkata baucar itu akan memberi kebebasan kepada pelajar untuk memilih peranti dan model sesuai dengan keperluan mereka.

Pelajar universiti mungkin tidak menggunakan peranti digital yang diberikan kepada mereka jika tidak berkualiti, kata Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung.
PETALING JAYA:
Lebih baik kerajaan memberikan baucar kepada pelajar universiti dalam kategori B40 daripada memberikan mereka tablet, kata Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung.

Lee berkata ia akan memberikan kebebasan kepada pelajar terbabit untuk memilih peranti dan model yang sesuai dengan keperluan mereka bersama waranti sepatutnya.

Katanya, baucar itu sepatutnya mempunyai nilai yang setara dengan harga netbook atau komputer riba, kerana peranti sedemikian lebih baik berbanding tablet untuk penuntut universiti.

“Komputer riba pastinya lebih relevan dengan pembelajaran dan begitu juga dengan sambungan internet yang mampu dimiliki,” katanya.

“Dengan kebanyakan pelajar kembali ke sekolah dan universiti, kita juga perlu membincangkan bagaimana pembelajaran hibrid harus diteruskan supaya mereka dapat mengejar pelajaran yang tertinggal dua tahun (akibat pandemik).”

Lee ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selembu, Pahang dan ketua PKR Pahang.

Katanya, tablet akhirnya mungkin tidak digunakan atau dibuang jika tidak berkualiti.

“Kemudian tablet ini akan menjadi pembaziran dan hanya gimik kerajaan semata-mata,” katanya.

Awal minggu ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata kerajaan merancang untuk menyediakan tablet berbanding komputer riba kepada pelajar universiti daripada kategori B40 di bawah inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia initiative.

Pengumumannya itu mendapat reaksi negatif daripada warganet yang mempersoalkan kualiti dan spesifikasi teknikal peranti dan bagaimana perolehannya akan dilakukan.

Annuar kemudiannya berkata gambar yang ditunjukkan itu hanyalah contoh dan bukan peranti sebenar yang akan dibekalkan. Beliau berkata tender secara terbuka bagi inisiatif itu masih dijalankan.

Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching mempersoalkan logik di sebalik pemberian tablet kepada pelajar universiti apabila kementerian telah memberikan komputer riba kepada murid sekolah rendah dan menengah tahun lalu.

Komputer riba berharga antara kira-kira RM1,400 hingga RM3,500 atau lebih, manakala harga tablet pula bermula dari RM500 hingga RM2,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.