Beri alasan sebenar tolak permohonan kami, doktor kontrak beritahu SPA

Beri alasan sebenar tolak permohonan kami, doktor kontrak beritahu SPA

Kebanyakan doktor kontrak mendakwa permohonan bagi jawatan tetap ditolak kerana dikatakan gagal melengkapkan dokumen dalam talian.

Hartal Doktor Kontrak menuntut ketelusan dalam kriteria dan pemilihan doktor kontrak, beserta manfaat sama yang dinikmati doktor tetap.
PETALING JAYA:
Ramai doktor kontrak kecewa selepas permohonan mereka bagi jawatan tetap ditolak tanpa diberikan sebarang alasan.

Mereka juga tidak dimaklumkan sama ada boleh membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Sebahagian daripada mereka dimaklumkan penolakan itu disebabkan permohonan tidak lengkap, walaupun mereka sudah memastikan semua dokumen yang diperlukan dalam talian diserahkan.

“Nampaknya portal itu mempunyai masalah yang menyebabkan lampiran (dokumen) kami hilang dan permohonan ditolak. Tetapi, tiada orang yang tampil memberitahu kami perkara sebenar.

“Apabila sebilangan kecil daripada kami menghantar e-mel kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), mereka diminta menghantar semula beberapa dokumen,” kata doktor itu.

Beberapa doktor terbabit yang bercakap kepada FMT berkata, SPA sepatutnya tampil terlebih dahulu untuk memaklumkan mereka alasan sebenar di sebalik penolakan itu memandangkan mereka semua doktor berkelayakan yang menjalani latihan di hospital kerajaan dan klinik kesihatan.

“Jadi, soal kehilangan dokumen tidak sepatutnya timbul kerana butiran maklumat kami tersedia kepada SPA.

“Ia sepatutnya lebih telus kerana masa depan kami dipertaruhkan. Doktor kontrak akan kehilangan banyak peluang sekiranya tidak diserap ke jawatan tetap,” kata seorang lagi doktor.

“Mereka hanya kata kami gagal penuhi kriteria saringan yang ditetapkan kementerian, dengan satu senarai alasan berkemungkinan.

“Antaranya pengkhususan, Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK), lokaliti, mata pelajaran STPM, STAM, SPM dan PMR. Ini sangat kabur.”

Beliau berkata, fasa seterusnya, iaitu peringkat temuduga, dijangka bermula tidak lama lagi dan mereka bimbang akan terlepas peluang itu.

Februari lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan 4,186 kakitangan kesihatan kontrak akan diserap ke jawatan tetap mulai Jun ini.

Katanya, jumlah itu merangkumi 3,586 pegawai perubatan, 300 doktor gigi dan 300 ahli farmasi.

Khairy berkata, Kabinet juga bersetuju membuka sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap bagi doktor setiap tahun, bermula 2023 hingga 2025.

Selain itu, 800 jawatan doktor pakar dan 70 jawatan pakar pergigian akan dibuka setiap tahun bermula 2023.

Kumpulan yang mewakili doktor, Hartal Doktor Kontrak menuntut ketelusan dalam kriteria dan pemilihan doktor kontrak, beserta manfaat sama yang dinikmati doktor tetap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.