
Dalam operasi di pangkalan haram di sekitar Bakong, Pasir Mas, 12.30 tengah malam tadi, semua mereka ditangkap dalam serbuan dilakukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.
Pegawai Pemerintah PGA7, Azhari Nusi, berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dipercayai sebagai “transporter” yang mengenakan bayaran sebanyak RM200 bagi setiap Pati.
Katanya, sebelum ditahan pihaknya membuat rondaan dan menahan Toyota Alphard berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika proses penahanan, kenderaan itu terbabas dan mengalami sedikit kerosakan dalam cubaan untuk melepaskan diri daripada ditahan.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan mendapati 15 Pati warga Myanmar termasuk 13 lelaki berusia 14 hingga 43 tahun berada di tempat duduk penumpang hadapan dan penumpang belakang,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap penumpang mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah dan dipercayai masuk ke negara ini melalui pangkalan haram di sekitar Bakong.
Azhari berkata, semua Pati berkenaan dalam perjalanan ke Machang untuk bekerja dalam sektor pembinaan bangunan.
“Toyota Alphard dan sebuah telefon bimbit masing-masing bernilai RM70,000 serta RM1,000 dirampas.
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi siasatan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.