Segera keluarkan garis panduan gaji minimum, gesa MTUC

Segera keluarkan garis panduan gaji minimum, gesa MTUC

MTUC turut meminta gaji minimum RM1,500 diwajibkan kepada semua syarikat tanpa ada pengecualian.

MTUC kini menunggu perbincangan dengan kerajaan berkenaan mekanisme kadar gaji minimum baharu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan supaya mengeluarkan garis panduan bagi pelaksanaan gaji minimum bermula 1 Mei ini.

Setiausaha agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, garis panduan itu perlu dibuat melalui pewartaan Perintah Gaji Minimum, selain menekankan bahawa gaji minimum RM1,500 perlu diwajibkan ke atas semua syarikat tanpa pengecualian.

Beliau berkata, MTUC kini menunggu perbincangan dengan kerajaan berkenaan mekanisme kadar gaji minimum baharu dan bimbang jika kerajaan tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan.

“MTUC tidak mahu sejarah pelaksanaan gaji minimum pada 2013 berulang semula dengan banyak majikan tidak membayar gaji tersebut.

Kamarul Baharin Mansor.

“Pekerja terpaksa membawa kes sehingga ke Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan tunggakan gaji minimum,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Mac kerajaan mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa pada 1 Mei ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan gaji minimum itu bagaimanapun akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Dalam pada itu, Kamarul turut membangkitkan persetujuan kerajaan berhubung gaji RM1,500 kepada pembantu rumah Indonesia yang bekerja di negara ini.

“Pekerja domestik dikecualikan dalam pemakaian perintah gaji minimum yang dilaksanakan sejak 2013 sehingga kini tetapi kerajaan Malaysia secara tiba-tiba setuju dengan cadangan kerajaan Indonesia.

“Persetujuan ini agak aneh kerana tiada sebarang perbincangan dilakukan di Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun katanya, MTUC mengalu-alukan persetujuan itu kerana kesatuan itu mendesak supaya tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana majikan untuk melaksanakan gaji minimum termasuk pekerja domestik.

Semalam, satu portal melaporkan kandungan memorandum persefahaman (MoU) pada 1 Apr yang dimeterai antara Jakarta dan Kuala Lumpur, menyebut gaji minimum bagi amah Indonesia adalah RM1,500.

Menurut MoU itu, gaji perlu dibayar terus ke akaun bank pekerja selewat-lewatnya pada 7 haribulan, dengan bonus sebulan selepas kontrak selesai dan kenaikan gaji jika kontrak diperbaharui selepas dua tahun.

Jika gaji tidak dibayar tepat pada masanya, tambahan 5% daripada jumlah gaji yang belum dibayar akan ditambah sebagai pampasan dan kegagalan berterusan untuk membayar gaji selama dua bulan berturut-turut akan memberi hak kepada pekerja rumah untuk menamatkan kontrak pekerjaan.

Ia adalah peraturan ketat untuk melindungi pekerja domestik atau pembantu rumah warga Indonesia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.