Pencalonan 20 ahli MPP, Pemuda, Wanita PKR tangguh 28 Mei

Pencalonan 20 ahli MPP, Pemuda, Wanita PKR tangguh 28 Mei

Penangguhan itu turut melibatkan pencalonan bagi 20 ahli Majlis Pimpinan Pemuda dan 20 ahli Majlis Wanita Pusat.

Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula hari ini hingga Ahad melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara yang menyaksikan proses pencalonan dilaksanakan secara dalam talian.
KUALA LUMPUR:
Pencalonan 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi pemilihan PKR 2022 yang dijadual Isnin ini ditangguh ke 28 Mei depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, penangguhan itu turut melibatkan pencalonan bagi 20 ahli Majlis Pimpinan Pemuda dan 20 ahli Majlis Wanita Pusat.

Bagaimanapun menurutnya, pencalonan bagi jawatan enam pimpinan utama MPP, iaitu presiden, timbalan presiden dan empat naib presiden serta lima jawatan utama Pemuda dan Wanita dikekalkan pada 11 April ini.

“JPP menerima baik pandangan ahli majlis Biro Politik yang bersidang pada 6 April dan percaya bahawa penangguhan dan pertukaran tarikh ini bertepatan dengan proses pemilihan yang bakal dilaksanakan pada kongres nasional kelak.

“Kempen boleh dilakukan calon menjadi lebih bersasar apabila individu yang menang akan diketahui lebih awal pada 21 Mei setelah pemilihan yang dilaksanakan secara hibrid di peringkat cabang selesai pada 20 Mei.

Mereka yang menang inilah yang bakal menjadi perwakilan ke kongres nasional dan layak memilih pada hari tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Pencalonan bagi pemilihan PKR 2022 bermula hari ini hingga Ahad melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara yang menyaksikan proses pencalonan dilaksanakan secara dalam talian.

Pemilihan parti itu melibatkan jawatan tertinggi PKR, iaitu presiden, timbalan presiden dan empat naib presiden, selain kepimpinan tertinggi sayap parti serta cabang.

Pemilihan kali ini dijangka menyaksikan pertembungan menarik bagi jawatan timbalan presiden selepas Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail serta Naib Presiden Rafizi Ramli mengesahkan bertanding jawatan itu.

Bagi jawatan naib presiden pula antara calon dijangka bertanding ialah Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Pengelola Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Wanita Fuziah Salleh dan Ketua Penerangan Fahmi Fadzil.

Selain itu, aktivis mahasiswa Adam Adli pula mengesahkan bertanding jawatan ketua Pemuda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.