
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, selepas veteran DAP Lim Kit Siang berundur daripada politik dan anak lelakinya Guan Eng tidak lagi menjadi setiausaha agung, Loke berada di kedudukan yang baik untuk menangkis segala tuduhan bahawa DAP adalah sebuah parti yang mengamalkan nepotisme.
“Loke perlu menekankan bahawa penguasaan Kit Siang dan Guan Eng dalam parti sebelum ini adalah berdasarkan merit dan keupayaan mereka, bukan kerana pertalian darah,” kata Ahmad Fauzi kepada FMT.
“Rekod pilihan raya Kit Siang membuktikannya. Tidak kira sama ada anda meletakkannya di Melaka, Pulau Pinang, Perak atau Johor, dia lebih daripada mampu untuk meraih kemenangan.”
Katanya, salah satu kelemahan DAP ialah ketidakupayaannya untuk menghilangkan imej berpaksikan Cina, selain menambah bahawa parti itu tidak bersedia untuk menjejaskan pengundi setianya pada masa lalu.
“Kepimpinannya sedar bahawa sekiranya ia bertindak terlalu cepat dalam ‘memalaysiakan’ pandangannya, sokongan orang Cina kepadanya mungkin akan terhakis secara perlahan-lahan,” katanya.
Namun begitu beliau berkata, keutamaan Loke perlu meluaskan asas sokongan parti bagi mencerminkan demografi Malaysia.
“Beliau boleh menulis dalam akhbar bukan berbahasa Cina untuk menjelaskan pendirian progresif DAP mengenai pelbagai isu dan menunjukkan kecekapannya berbahasa Melayu. Sebagai seorang graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), orang Melayu mengharapkan penguasaan Bahasa Kebangsaannya adalah lebih baik.”
James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania bersetuju bahawa DAP secara umumnya dilihat sebagai parti Cina. Beliau berkata, ramai ahli komuniti itu kecewa dengan parti itu selepas 22 bulan berada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Beliau percaya Loke perlu mengambil tanggungjawab untuk meminta maaf kepada komuniti Cina atas ketidakupayaannya menangani rungutan utama ketika berada dalam kerajaan, seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Chin berkata, selepas Loke menjadi setiausaha agung, DAP mempunyai peluang untuk mencipta imej dan naratif baharu bukan hanya dalam kalangan orang Cina tetapi seluruh rakyat Malaysia.
“Pemilihan parti baru-baru ini menunjukkan ia agak sukar untuk minoriti Melayu dan India mendapat jawatan dalam kepimpinan. Jadi mereka harus mencari jalan untuk membawa lebih ramai orang Melayu dan India ke dalam kepimpinan atasan parti bagi menunjukkan mereka adalah berbilang kaum,” katanya.