Isu tanah lapangan terbang: Saya tak sembunyi, sedia bantu siasatan, kata Peja

Isu tanah lapangan terbang: Saya tak sembunyi, sedia bantu siasatan, kata Peja

Sebelum ini bekas exco Perak Asmuni Awi mendedahkan penjualan tanah itu tidak pernah dibawa ke mesyuarat exco untuk diluluskan ketika Ahmad Faizal Azumu menjadi menteri besar.

Ahmad Faizal Azumu mahu pihak berkuasa diberi ruang melakukan siasatan selain bersedia memberi kerjasama jika dipanggil oleh SPRM. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu tidak akan bersembunyi jika dipanggil pihak berkuasa untuk membantu siasatan penjualan tanah tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Menteri belia dan sukan itu berkata, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Sudah pasti saya akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa (sekiranya dipanggil berhubung isu penjualan tanah).

“Ketika ini, biarlah (beri ruang) pihak berkuasa melakukan kerja dan siasatan mereka,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Hari ini dilaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mendapatkan dokumen berhubung isu penjualan tanah untuk pembinaan lapangan terbang berkenaan daripada beberapa jabatan berkaitan.

Bagaimanapun, Pengarah SPRM Perak Mohd Fauzi Mohamad berkata, setakat ini pihaknya belum membuat sebarang penahanan atau memanggil mana-mana individu berhubung perkara itu.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Ketua Amanah Perak Asmuni Awi bahawa penjualan tanah berkeluasan ribuan ekar itu kepada syarikat swasta adalah di luar pengetahuan exco kerajaan negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Asmuni, yang juga seorang daripada exco kerajaan negeri bawah kepimpinan Faizal ketika itu, mendakwa sepanjang menyandang jawatan berkenaan, penjualan tanah terbabit tidak pernah dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat exco untuk diluluskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi itu turut mendakwa tindakan berkenaan langsung tidak diketahui sehingga perkara itu dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak oleh Adun Aulong, Nga Kor Ming.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.