Wan Junaidi ‘kecewa’ pembentangan RUU Anti Lompat Parti ditangguh

Wan Junaidi ‘kecewa’ pembentangan RUU Anti Lompat Parti ditangguh

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bagaimanapun menerima hakikat Kabinet adalah kuasa tertinggi dalam negara ini untuk membuat keputusan.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau sudah berusaha selama lapan bulan untuk RUU Anti Lompat Parti.
KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengaku kecewa Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak dapat dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin depan.

Beliau bagaimanapun menerima hakikat Kabinet adalah kuasa tertinggi dalam negara untuk membuat keputusan.

“Saya ahli Kabinet, kena akur dengan (keputusan) Kabinet, perasaan peribadi saya tak penting.

“Memang ‘frustlah’, selepas kerja lapan bulan, ada sedikit ‘hitch’ itu, memang terasa, tetapi semua sudah terima hakikat Wan Junaidi sudah tidak berapa syok,” katanya selepas mesyuarat bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik hari ini.

Semalam, Wan Junaidi dilapor mengesahkan bahawa RUU itu tidak akan dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada 11 April ini, sebaliknya ia akan dihantar balik untuk kajian lanjut berhubung definisi “lompat parti”.

Sementara itu, Wan Junaidi menafikan dakwaan “sabotaj politik” dalam penangguhan itu, sebaliknya berkata, ia hanya perbezaan pendapat dalam memuktamadkan beberapa aspek dalam RUU terbabit seperti definisi “lompat parti”.

“Tidak ada pun sabotaj politik. Tak mungkin itu sabotaj politik. Rasanya perbezaan pendapat daripada sebahagian orang dalam kerajaan.

“Bukan tak setuju dengan undang-undang, (cuma) tidak setuju dengan beberapa cirinya. Beberapa cirinya kena ubah.”

Katanya, pembentangan sebenar RUU Anti Lompat Parti akan diadakan dalam masa terdekat yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob selepas berbincang dengan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.