
Namun ada yang berbuat demikian kerana terpaksa.
Tinjauan FMT ke sebuah bazar Ramadan di Seksyen 13, Shah Alam, mendapati ramai ibu bapa membawa bersama anak-anak kecil termasuk yang belum cukup umur mendapatkan suntikan vaksin meskipun menyedari nasihat Dr Noor Azmi Ghazali itu.
Tonton video di sini.
Rata-rata yang ditemui berkata mereka tiada pilihan kerana tiada sesiapa yang boleh menjaga anak mereka.
Seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Adila berkata, dia terpaksa mengambil anaknya dari tadika pada 4.30 petang memandangkan tiada ahli keluarga dapat menjaga anaknya yang berusia tiga tahun itu.
Selepas mengambil anaknya, mereka terus ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa.
“Saya bersetuju dengan nasihat Kementerian Kesihatan, tetapi saya tiada pilihan. Saya tak boleh biarkan dia bersendirian di rumah tanpa pengawasan orang dewasa.
“Saya faham ancaman Covid-19, sebab itu kita mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka dan elak (pergi ke) gerai yang sesak,” katanya.
Situasi sama turut dihadapi oleh seorang lagi ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Aisyah. “Saya hanya akan beli apa yang perlu dan balik,” katanya. “Kami akan terus mandi sebaik sampai di rumah.”
Menurut Aisyah, anaknya berusia empat tahun dan dia akan mendapatkan vaksin apabila anaknya mencapai usia lima tahun.
Muhammad Faiz, yang membawa dua orang anaknya, seorang berumur sembilan bulan dan seorang lagi tiga tahun berkata, orang ramai mesti belajar untuk hidup dengan virus itu ketika negara masuk fasa peralihan ke endemik.
Isnin lalu, Noor Azmi menasihati ibu bapa supaya tidak membawa anak-anak kecil mengunjungi bazar Ramadan bagi mengelakkan mereka terdedah kepada jangkitan Covid-19.
Beliau berkata, vaksinasi membabitkan kanak-kanak masih di tahap yang rendah.
Kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun diberi vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang berjalan sejak 3 Feb.