Tak sempat bawa ke Johor, lelaki ditahan bersama mercun RM250,000

Tak sempat bawa ke Johor, lelaki ditahan bersama mercun RM250,000

Mercun dipercayai diseludup dari Thailand disimpan di sebuah kedai dijadikan stor.

Mercun itu dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui pangkalan haram dan diangkut dalam kuantiti kecil menggunakan kereta bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. (Gambar PGA7/Bernama)
KOTA BHARU:
Seorang lelaki ditahan bersama sejumlah mercun bernilai lebih RM250,000 oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di sebuah kedai dijadikan stor penyimpanan bahan itu dekat Kampung Bukit Kechil, Gunong di Bachok, semalam.

Pegawai Pemerintah Medan Op Wawasan Kelantan, Azhari Nusi, berkata serbuan dilakukan pada 12.30 tengah hari selepas pemerhatian dilakukan ke atas premis itu.

“Ketika serbuan anggota PGA7 telah menahan seorang lelaki yang mengaku sebagai penyewa premis perniagaan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut dalam premis berkenaan, menemukan 81 kotak dan 21 guni berisi pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM254,616,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua mercun itu dipercayai akan dipasarkan di Johor.

Azhari berkata, siasatan awal mendapati mercun itu dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui pangkalan haram dan diangkut dalam kuantiti kecil menggunakan kereta bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Semua rampasan dan suspek berusia 30-an itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Azhari berkata, PGA7 juga berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang membawa empat wanita pendatang asing tanpa izin (Pati) Thailand berusia 29 hingga 38 tahun menggunakan Proton Exora di sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu, Tanah Merah pukul 9.15 pagi semalam.

Katanya, semua Pati itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah dan disyaki cuba diseludup ke negara jiran dengan bayaran RM1,700 selepas diambil dari Pulau Pinang dan Selangor.

“Semua tangkapan diserahkan kepada Cawangan Jenayah, IPD Tanah Merah bagi siasatan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.