Maruah, kos sifar antara teras MoU amah dengan Indonesia

Maruah, kos sifar antara teras MoU amah dengan Indonesia

Semua kos yang dibayar pembantu rumah di negara asal dan Malaysia, perlu ditanggung majikan dengan had ditetapkan pada RM15,000.

Menurut MoU baharu majikan perlu membayar gaji setengah bulan sebagai ganti jika pembantu rumah bersetuju bekerja dan tidak menghabiskan lapan hari cuti tahunan mereka.
PETALING JAYA:
Kos sifar dan dilayan dengan bermaruah adalah antara pelbagai tuntutan yang perlu dipenuhi isi rumah di Malaysia untuk mengambil pembantu rumah dari Indonesia di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang baharu dimeterai.

Selain gaji minimum RM1,500 dan cuti tahunan selama lapan hari, MoU itu turut menuntut majikan membenarkan pembantu rumah menggunakan telefon bimbit mereka untuk menghubungi keluarga dan pihak berkuasa Malaysia tanpa sekatan.

Sebelum ini, ramai majikan diketahui mengehadkan pembantu rumah daripada menggunakan telefon bimbit sendiri.

Tambahan lagi mereka perlu mendapatkan sijil kecekapan sebelum dibenarkan bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

“Sijil ini akan dikeluarkan oleh Institut Pensijilan Profesion di bawah Agensi Kebangsaan bagi Pensijilan Profesion. Ini akan dikeluarkan selepas calon menghabiskan latihan dan lulus ujian,” kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono kepada FMT.

Ini adalah antara pelbagai syarat yang dinyatakan dalam dokumen setebal 60 halaman yang dibocorkan oleh kumpulan hak asasi pekerja antarabangsa kepada media hari ini, seminggu selepas MoU itu dimeterai di Indonesia.

Dilihat sebagai “tuntutan” kerajaan Indonesia untuk warganegara mereka mendapat layanan lebih baik disebabkan banyak kes penderaan yang berlaku pada masa lalu, ia menyatakan dengan khusus bahawa majikan dan ahli keluarga mereka perlu melayan pembantu rumah dengan hormat serta bermaruah.

“Majikan hendaklah memberi jaminan pekerja mempunyai akses kepada komunikasi dengan ahli keluarga mereka, pihak berkuasa berkaitan di Malaysia dan duta Indonesia melalui sebarang cara komunikasi, antara lain telefon bimbit.”

Bagi cuti tahunan pula, majikan perlu membayar gaji setengah bulan sebagai ganti jika pembantu rumah bersetuju untuk bekerja dan tidak menghabiskan cuti mereka.

“Jika mereka menamatkan kontrak dua tahun tanpa mengambil cuti tahunan 16 hari itu, majikan perlu membayar gaji sebanyak sebulan sebelum mereka pulang atau memperbaharui kontrak mereka,” menurut MoU itu.

Majikan di Malaysia juga perlu, antara lain menanggung sepenuhnya tambang penerbangan (kedua-dua hala), dokumentasi, latihan, yuran perubatan dan ejen di kedua-dua negara, sekali gus menjadikannya “kos sifar” bagi pembantu rumah untuk terbang ke Malaysia. Kos itu dihadkan kepada RM15,000.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menjadikannya wajib untuk mengelakkan mereka terikat dengan hutang, yang turut diklasifikasikan sebagai buruh paksa.

MoU itu turut menetapkan jawatan kerja adalah pembantu rumah dan tukang masak, penjaga kanak-kanak dan warga emas dengan butiran tugas mereka.

Berbanding MoU terdahulu, majikan yang lewat membayar gaji perlu membayar penalti sebanyak 5% ke atas jumlah yang dihutang, jika ia melebihi dua bulan.

Menurutnya, mereka layak mendapat cuti sehari setiap minggu dan jika kedua-dua pihak bersetuju mengambil pembantu rumah bekerja, mereka perlu membayar satu setengah kali untuk kerja hari itu mengikut gaji harian dan yang dinyatakan dalam kontrak.

“Semua kontrak antara majikan dan pekerja perlu diluluskan oleh kedutaan Indonesia. Semua ejen Malaysia perlu berdaftar dengan kedutaan, manakala ejen Indonesia perlu berdaftar dengan kedutaan Malaysia di Jakarta.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.