Kos haji tahun ini dijangka lebih RM25,000 seorang

Kos haji tahun ini dijangka lebih RM25,000 seorang

Kenaikan itu berikutan kerajaan Arab Saudi menaikkan cukai dan caj perkhidmatan baharu.

Pada 2019 kos menunaikan haji ialah RM22,900 bagi seorang jemaah muassasah. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Lembaga Tabung Haji (TH) menjangkakan kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah tahun ini meningkat kepada lebih RM25,000 susulan kenaikan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi.

TH dalam kenyataan memaklumkan kos itu merupakan peningkatan 12% berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019.

Peningkatan itu mengambil kira kenaikan cukai tambah nilai (VAT) daripada 5% kepada 15% dan beberapa caj perkhidmatan tambahan lain.

“Ini tidak mengambil kira pelbagai peningkatan kos dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan dilaksanakan pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut TH, kos haji adalah kos langsung yang dibayar bagi mendapatkan perkhidmatan untuk menunaikan ibadat berkenaan seperti penerbangan dan penginapan yang merangkumi kira-kira 70% daripada kos keseluruhan.

“Kos lain antaranya termasuk sajian makanan, pengangkutan bas, khemah di Arafah dan Mina, serta perkhidmatan Mutawif selama 40 hingga 45 hari.

“Hampir semua perkhidmatan ini disediakan di Arab Saudi dan terkesan dengan kenaikan VAT serta kadar inflasi di sana,” katanya.

TH turut menanggung sepenuhnya kos tidak langsung yang mencecah RM60 juta setiap tahun meliputi kos bagi kursus persediaan haji, penerbitan buku panduan, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan petugas haji.

Lembaga itu juga mengingatkan bakal haji agar membuat persediaan awal dari segi kesihatan serta perbelanjaan haji, meskipun ketika ini kerajaan Arab Saudi belum membuat pengumuman rasmi berkenaan ibadat haji bagi tahun ini.

“Walaupun ibadat haji ditangguhkan dua kali akibat wabak Covid-19 yang melanda dunia sejak 2020, TH tetap meneruskan persiapan haji dengan mengambil kira situasi semasa dan perkembangan di Arab Saudi,” katanya kenyataan itu lagi.

Katanya, Pengarah Eksekutif Haji TH, Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kos haji yang meningkat saban tahun itu disebabkan beberapa faktor seperti inflasi di Arab Saudi, pergerakan mata wang asing, penambahbaikan perkhidmatan serta pembangunan di Makkah dan Madinah.

“TH menjangkakan kos ini akan terus meningkat pada masa hadapan, namun setakat ini TH masih meneruskan bantuan kewangan haji kepada semua jemaah muassasah yang menunaikan haji buat kali pertama,” katanya.

Menurut Syed Saleh, berdasarkan rekod TH, sebanyak RM2 bilion telah diberikan kepada jemaah haji dalam bentuk bantuan kewangan haji sejak 2001.

“TH mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 sejak 13 tahun lalu walaupun kos untuk menunaikan haji meningkat setiap tahun.

“Dalam tempoh 2001 hingga 2019 bayaran haji meningkat 16%, manakala kos haji pula melonjak sebanyak 139% disebabkan faktor luar kawalan TH,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.