
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata, mereka dikenali sebagai Kristine Grodem, 35, yang merupakan jurulatih selam warganegara Norway; Alexia Alexandra, 18, (Perancis); Adrian Peter, 46, (British) dan anaknya, Nathen Renze, 14, (Belanda).
“Semua mangsa adalah pelancong dan seorang daripada mereka merupakan jurulatih (selam) manakala tiga yang lain adalah pelajar.
“Ini bukan kali pertama mereka menyelam, (sebaliknya) semua mereka agak berpengalaman dalam selaman dan sedang menaik taraf sijil kelayakan menyelam,” katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing.
Onn Hafiz berkata, semua keluarga mangsa telah dimaklumkan berhubung kehilangan mangsa dan operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga petang ini bergantung kepada keadaan cuaca.
Beliau berkata, keluarga mangsa yang terlibat telah menghubungi polis berhubung maklumat kehilangan dan difahamkan mereka dalam perjalanan menuju ke sini.
Dalam kejadian tengah hari semalam, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, di sini.
Op Carilamat diteruskan bermula 7 pagi tadi melibatkan 90 anggota dan pegawai pelbagai agensi termasuk 30 penyelam dan 18 aset.