3 kedai kayu musnah dalam kebakaran di Jertih

3 kedai kayu musnah dalam kebakaran di Jertih

Kebakaran itu membabitkan sebuah bengkel membaiki motosikal, sebuah kedai membaiki televisyen dan sebuah bengkel kimpalan.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat memadamkan sisa api pada motosikal di sebuah bengkel yang musnah dalam kejadian kebakaran di Seberang Jertih, semalam. (Gambar Bernama)
JERTIH:
Sebuah bengkel membaiki motosikal, sebuah kedai membaiki televisyen dan sebuah bengkel kimpalan musnah dalam kebakaran satu deretan kedai berstruktur kayu di Kampung Seberang Jertih, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, tiga jentera bomba dan sebuah lori tangki dengan 14 kekuatan anggota dari balai Jertih dan Besut dikerahkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 7.47 malam.

“Tiga unit rumah kedai itu musnah 100%, namun api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah berdekatan dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu pemilik bengkel membaiki televisyen, Zulkarnain Tawang, 55, berkata, beliau menyedari kebakaran bermula daripada bengkel membaiki motosikal bersebelahan kedainya sebaik selesai mengerjakan solat Asar.

“Saya terdengar letupan kecil dari bengkel sebelah kemudian saya nampak api menyala, lalu saya bergegas keluar dari bengkel saya yang terletak di bahagian tengah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, api marak dengan cepat kerana struktur kedai berkenaan diperbuat daripada kayu dan sudah berusia lebih 30 tahun.

“Saya tidak sempat menyelamatkan satu pun daripada lebih 100 unit televisyen milik pelanggan yang perlu dibaiki dan saya menganggarkan kerugian sebanyak RM50,000,” katanya yang menyewa kedai itu sejak 20 tahun lepas.

Pemilik bengkel membaiki motosikal pula, Wong Weng Chong, 57, berkata, kejadian itu berlaku tidak lama selepas beliau menutup bengkel.

“Saya tutup bengkel kira-kira 4.45 petang untuk ke bandar Jertih dan ketika dalam perjalanan pulang semula ke bengkel, saya nampak asap tebal menjulang tinggi dari kawasan bengkel dan saya berasa sangat tidak sedap hati,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Menurut Wong dia menyewa premis berkenaan sejak 31 tahun lepas dan mengganggarkan kerugian dialaminya melebihi RM30,000 berikutan tiga buah motosikal musnah termasuk sebuah motosikal miliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.