
Menteri Besar, Saarani Mohamad, berkata ini kerana keputusan memberi kelulusan KM kepada syarikat swasta yang membeli tanah itu dilakukan PBT terbabit yang sudah pasti melalui peruntukan undang-undang serta peraturan tertentu.
“Dalam kes ini, Yang Dipertua MDPT yang seharusnya buat. Kita (kerajaan negeri) tidak boleh sewenangnya memutuskan perkara itu (membatalkan KM) yang (kemungkinan) akan menyalahi peraturan dan undang-undang.
“Jadi apa pun yang hendak dibuat, Yang Dipertua MDPT seharusnya merujuk semula kepada peraturan dan undang-undang sedia ada kerana ia bawah kuasa PBT,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Keranji, Chong Zhemin yang menggesa kerajaan negeri menghentikan KM tanah berkeluasan 188 hektar terbabit.
Ditanya mengenai keperluan Saarani atau Umno Perak secara umumnya membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan isu penjualan itu sebagaimana dilakukan bekas exco negeri sewaktu era Pakatan Harapan, Saarani berkata, tiada keperluan mengenainya.
Katanya, memadai dengan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat empat bekas exco negeri semalam dan siasatan sudah dijalankan agensi itu.
“Laporan adalah bagi membolehkan mana-mana agensi melakukan siasatan dan dalam hal ini satu laporan pun sudah memadai. Saya takkan menari ikut gendang orang lah (ikut cara kebiasaan).
“Dia sekarang ini adalah peringkat yang mana semua orang nak ambil bahagian untuk dapat perhatian,” katanya sebagai menjawab tohmahan bahawa isu itu mencalarkan reputasi kerajaan negeri bawah pentadbiran sekarang.
Saraani turut mengulangi pendirian dirinya serta kerajaan negeri secara umumnya akan memberi kerjasama telus dan penuh terhadap siasatan yang dijalankan serta tidak akan sesekali melindungi sebarang maklumat yang diperlukan.