
Kematian mangsa berusia 19 tahun hanya disedari selepas polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat seorang lelaki di dapur rumah itu pada 9.40 pagi.
Ketua Polis Seremban, Nanda Maarof berkata, sebaik tiba di lokasi anggotanya menemui mayat lelaki warga Rohingya di bahagian lorong dapur menuju ke bilik dengan kesan tikaman di perut.
“Siasatan awal mendapati mangsa ditikam dengan senjata tajam dan meninggal dunia lebih kurang lima jam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa difahamkan menumpang di rumah sewa suspek berusia 40-an sejak seminggu lalu.
Katanya, berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek yang tidak diketahui puncanya.
“Jiran memaklumkan terdengar bunyi pergaduhan dari rumah suspek malam tadi (Selasa). Majikan juga ada datang mencari suspek di rumah selepas dia tidak datang ke tempat kerja pagi tadi (Rabu),” katanya.
Sementara itu, Nanda berkata, suspek yang juga buruh berjaya ditahan di sebuah kedai pakaian di Pulau Pinang, pada 2 petang tadi.
Tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan suspek dibawa ke IPD Seberang Perai Tengah untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Seremban.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.