
Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainudin berkata, Bersatu juga memberi mandat penuh kepada Biro Politik yang dipengerusikan Muhyiddin untuk membincangkan strategi bagi menghadapi PRU.
“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu memutuskan untuk memberikan mandat penuh kepada Biro Politik yang dipengerusikan oleh presiden untuk membincangkan strategi parti bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang akan datang bersama parti-parti politik lain,” katanya dalam kenyataan dengan memaklumkan bahawa perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MPT semalam.
Katanya, menerusi mesyuarat itu juga MPT Bersatu turut membincangkan hal-hal berkenaan pengurusan parti, perkembangan politik tanah air dan keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor 2022 yang diadakan pada 12 Mac lalu.
Terdahulu, Muhyiddin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad bagi mengemukakan cadangan gabungan parti pada PRU15.
Presiden Pejuang Mukhriz berkata, pertemuan antara presiden Bersatu dan pengerusi Pejuang itu berlangsung selepas PRN Johor.
Selain Pejuang, Presiden Warisan, Shafie Apdal pula mendedahkan bahawa pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menghubunginya untuk membentuk kerjasama politik selepas rundingan dengan Mahathir gagal.
Muhyiddin bagaimanapun menjelaskan inisiatif bagi membentuk kerjasama pada PRU15 dibuat selepas beliau didatangi seorang pemimpin kanan parti Pejuang.
Muhyiddin berkata, beliau didatangi pemimpin beberapa parti termasuk Pejuang selepas PRN Johor selesai.