
Nalvin, 24, yang dilahirkan daripada bapa rakyat Malaysia dan ibu warga Filipina, sangat gembira dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu, selepas perjuangan sukar dan lama untuk mendapatkan kewarganegaraan.
“Saya sangat gembira kerana ia mengambil masa lama untuk saya sampai ke sini,” katanya kepada FMT.
Tonton video di sini.
“Saya dilahirkan dan dibesarkan di Klang dan ini sangat bermakna kepada saya. Saya secara rasminya adalah warganegara. Hari ini ialah hari merdeka saya.”
Nalvin berkata, memiliki MyKad bermakna beliau kini mempunyai peluang yang tidak dapat dinikmatinya sebelum ini.
“Hidup sebagai individu tanpa kerakyatan selama bertahun-tahun, saya menghadapi had terhadap apa yang saya boleh dan tidak boleh lakukan. Demi melanjutkan pelajaran, saya terpaksa mengeluarkan wang tunai yang banyak dan tidak dapat memohon pinjaman.
“Tetapi kini saya mempunyai akses penuh ke atas perkara seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan keistimewaan kewangan. Ini adalah permulaan baik untuk saya.”
Nalvin, yang akan berusia 25 tahun pada Jun ini, berusaha mendapatkan pengiktirafan sebagai warganegara Malaysia sejak Disember 2009.
Bapanya turut melakukan beberapa percubaan untuk Nalvin diiktiraf sebagai rakyat Malaysia dan mendapatkan sijil kelahiran kira-kira tujuh tahun.
Bagaimanapun, menteri dalam negeri melalui tiga surat bertarikh 8 Dis 2010, 20 Jan 2014 dan 4 April 2016, menolak permohonannya tanpa memberi sebarang alasan.
Ketika menerima maklum balas kementerian itu berhubung permohonan kerakyatan ketiganya, Nalvin sudah berusia 19 tahun. Pada 2019, beliau memfailkan tuntutan untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengisytiharkan dirinya sebagai rakyat Malaysia.
Keputusan hari ini disampaikan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang memutuskan Nalvin memenuhi syarat di bawah Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.
Seksyen 1(e) berkaitan individu yang lahir di Malaysia dan tidak dilahirkan sebagai warganegara mana-mana negara.
Hakim turut memerintahkan Nalvin diberikan kad pengenalan dalam tempoh 21 hari dari tarikh perintah itu diberikan.
Mengenai harapannya untuk individu lain yang melalui nasib sama tanpa kerakyatan seperti dirinya, Nalvin berkata, mereka perlu “keluar dan memperjuangkan hak mereka”.
“Berhenti membuat alasan dan jangan berputus asa. Tiada apa yang mustahil,” katanya.