Jasa jururawat Jerman, bantu komuniti rentan sekitar KL tak dilupakan

Jasa jururawat Jerman, bantu komuniti rentan sekitar KL tak dilupakan

Rainer Rotthoff banyak membantu menyediakan rawatan perubatan kepada mereka yang tinggal di jalanan sekitar bandar Kuala Lumpur, termasuk pekerja seks dan penagih dadah.

Rainer Rotthoff lantang bersuara tentang kepentingan penyediaan ruang selamat kepada mangsa keganasan berasaskan gender.
PETALING JAYA:
Rainer Rotthoff mungkin dilihat seperti seorang pelancong asing yang berkeliaran di sekitar Kuala Lumpur, tetapi bagi kebanyakan komuniti rentan di bandar itu, dia adalah malaikat rahmat.

“Dia akan membersihkan luka pekerja seks, orang yang tinggal di bawah jambatan,” seorang aktivis, Glorene Das, yang juga rakan lamanya.

Ratthoff, 72, yang meninggal dunia bulan lalu, “adalah seorang lelaki budiman yang baik hati dan pemurah,” katanya kepada FMT.

Ratthoff adalah jururawat terlatih yang berpindah dari Jerman ke Malaysia tiga dekad lalu dan merupakan sebahagian daripada Majlis AIDS Malaysia (MAC).

Beliau juga bergiat aktif dalam Program Ikhlas yang berperanan menyediakan rawatan perubatan kepada orang-orang yang tinggal di jalanan sekitar bandar Kuala Lumpur, termasuk pekerja seks dan penagih dadah.

Das, yang mengetuai organisasi Tenaganita berkata, kali pertama dia bertemu dengan Rotthoff adalah pada 1999. Mereka pernah bekerjasama untuk membantu komuniti rentan.

“Beliau juga menyediakan tempat yang selamat untuk kami menjaga mangsa keganasan dua tahun lalu. Ia dikenali sebagai ‘Rainer House of Hope’.”

Menurut Das, komitmen Rotthoff terhadap golongan tertindas melangkaui sifat kedermawanan. Katanya lagi, Rotthoff lantang bersuara mengenai kepentingan penyediaan ruang selamat kepada mangsa keganasan berasaskan gender.

“Seorang penghuni di sini turut memberitahu saya bahawa dia amat bersyukur kerana mempunyai tempat yang selamat untuk membina semula kehidupannya.”

Selain terlibat dalam kerja-kerja kesukarelawanan, Rotthoff juga menubuhkan pusat perlindungan untuk membantu pelarian dan penghidap HIV dari negara lain.

Menurut Das lagi, Rotthoff mengalami komplikasi kesihatan selama bertahun-tahun dan menjalani pembedahan pada Februari.

“Dia sangat gembira kerana dapat berjalan semula, namun malangnya beliau mengalami serangan jantung tidak lama kemudian. Beliau adalah seorang yang unik, saya amat merinduinya.”

Pengerusi Yayasan PT, Hisham Hussein berkata, kedatangan Rotthoff ke Malaysia pada awal 1990-an adalah satu rahmat kerana memang sukar untuk mencari sukarelawan yang berkelayakan untuk membantu penagih dadah.

Hisham berkata, dia akan mengingati Rotthoff sebagai orang yang sangat berjasa dalam masyarakat.

“Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa besar jasanya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.