
Beliau berkata, pihak berkuasa sedang memantau keadaan tetapi tidak mungkin untuk sentiasa memantau semua kenderaan yang membeli RON95 di stesen minyak, yang menerima subsidi besar oleh kerajaan untuk mengekalkannya pada RM2.05 seliter bagi rakyat Malaysia walaupun harga minyak melonjak di peringkat global.
Kenderaan milik warga asing sepatutnya menggunakan RON97 yang dijual pada harga RM3.91 seliter.
Khairul berkata, bagi memastikan RON95 hanya digunakan oleh penduduk tempatan, ia mungkin memerlukan sehingga 10 kakitangan di pam pada satu-satu masa.
“Untuk tiga syif, ini bermakna 30 kakitangan. Dengan gaji minimum sekarang pada RM1,500, ia akan menelan kos kira-kira RM45,000 untuk gaji sahaja.
“Jika kami dibekalkan dengan dana, kami boleh menggunakan lebih ramai kakitangan; jika tidak (ada dana), kami tidak mampu,” katanya.
Penjualan RON95 kepada warga asing dilarang pada 2010 oleh bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Ismail Sabri Yaakob, yang kini menjadi Perdana Menteri, bagi memastikan subsidi bahan api hanya menguntungkan rakyat Malaysia.
Khairul menyarankan penggunaan teknologi untuk membantu memantau pembelian RON95 oleh warga asing, lebih-lebih lagi kini apabila sempadan dibuka semula.
“Mungkin semakan pengenalan, menggunakan kad pengenalan individu, boleh diperkenalkan di pam sebelum pembelian dibuat,” tambahnya.
Khairul berkata, satu sistem pembayaran boleh diperkenalkan bagi menghalang pembelian RON95 menggunakan kad kredit asing.
Beliau turut mencadangkan penggunaan teknologi menggunakan tag nano untuk mengenal pasti RON95. Denda berat boleh dikenakan ke atas mana-mana kenderaan dengan pendaftaran asing yang didapati mempunyai tag nano ini.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Najib Razak di Facebook menggesa pihak berkuasa tempatan dan stesen minyak memastikan warga asing tidak membeli RON95.
Beliau berkata, subsidi bagi setiap liter petrol RON95 adalah sekitar RM1.70.
“Jika warga asing isi 40 liter RON95 sahaja, kerajaan akan rugi RM68 wang rakyat kepada warga asing,” katanya.
Najib berkata, pada RM2.05 seliter, harga RON95 di Malaysia adalah yang ke-11 terendah di dunia, lebih murah berbanding di beberapa negara pengeluar minyak utama dan Teluk seperti Arab Saudi, Qatar dan Bahrain.
“RON97 yang dibenarkan dijual kepada warga asing pula dijual dengan harga RM3.91 satu liter di Malaysia. Namun masih jauh lebih murah berbanding harga SGD3.02 (RM9.37) bagi RON95 dan SGD3.51 (RM10.90) bagi RON97 di negara jiran sebab petrol dikenakan cukai yang tinggi,” katanya.