Awas pengusaha stesen minyak jika jual petrol bersubsidi kepada kenderaan asing

Awas pengusaha stesen minyak jika jual petrol bersubsidi kepada kenderaan asing

KPDNHEP juga telah mengarahkan semua penguatkuasanya di negeri bersempadan dengan Singapura dan Thailand mempergiatkan pemantauan serta pemeriksaan.

Kementerian memandang serius isu ini dan saya sudah mengarahkan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP untuk menjalankan siasatan dengan serta merta, menurut Alexander Nanta Linggi.
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha stesen minyak khususnya di sempadan negara susulan tular kenderaan dengan plat nombor negara jiran mengisi minyak petrol bersubsidi.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata KPDNHEP dari semasa ke semasa mengeluarkan arahan kepada semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak bersempadan dengan Singapura bagi memastikan pematuhan larangan penjualan Petrol RON 95 kepada semua kenderaan termasuk motosikal bernombor pendaftaran asing.

“Kementerian memandang serius isu ini dan saya sudah mengarahkan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP untuk menjalankan siasatan dengan serta merta.

“Saya juga telah mengarahkan pemantauan yang lebih agresif dijalankan di semua stesen minyak, terutama yang berdekatan dengan negeri bersempadan bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa kenderaan dengan plat nombor pendaftaran Singapura dikatakan mengisi minyak petrol menggunakan nozel berwarna kuning yang disyaki minyak Petrol RON 95, yang merupakan minyak bersubsidi.

Perkara itu turut dikongsikan oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak di Facebooknya.

Katanya, kementerian juga telah mengarahkan semua KPDNHEP Negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand supaya mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ).

“Jika disabit bersalah, individu boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun manakala bagi perbadanan atau syarikat, denda tidak lebih RM2 juta.

Mengulas lanjut, Nanta berkata aktiviti penguatkuasaan yang lebih agresif akan dilaksanakan dengan pelancaran OPS PANTAU 2022 bermula hari ini.

“Selain memastikan bekalan barangan mencukupi dan dijual pada harga munasabah, OPS PANTAU 2022 turut akan memastikan pematuhan tinggi oleh peniaga berikutan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi dan pintu sempadan negara bermula 1 Apr,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.