
Presiden Persatuan Majikan Sabah Yap Cheen Boon berkata, beliau berasa lega berikutan pendirian yang dizahirkan gabenor bank pusat itu yang mengakui keperluan bagi “pendekatan menyeluruh dan saksama” berhubung kenaikan gaji.
“Namun ia juga membimbangkan kerana ini menunjukkan ketidakselarasan pendekatan dasar dalam kalangan agensi kerajaan,” katanya kepada FMT.
“Adakah terdapat rundingan dalam menangani isu ekonomi yang timbul akibat gaji minimum baharu?” katanya, sambil menyeru pihak berkepentingan awam dan swasta disertakan dalam perbincangan.
Gaji minimum baharu RM1,500 yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Mei menandakan peningkatan 25% daripada kadar sebelumnya, iaitu RM1,200, yang ditetapkan pada 2020.
Bagaimanapun, Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus pada Rabu berkata, dasar itu perlu dilaksanakan secara progresif bagi mengelakkan gangguan kepada ekonomi. Katanya, firma yang terjejas akibat wabak Covid-19 harus diberi masa untuk menyesuaikan diri.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia Syed Hussain Syed Husman berkata, bukan semua syarikat mempunyai keupayaan atau kapasiti kewangan yang sama, dan ramai yang menderita akibat sekatan Covid-19 dan banjir monsun.
Setiausaha Agung Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong berkata, komen Shamsiah mencerminkan kurangnya komunikasi antara kementerian.
“Selalunya, mereka tidak berunding sesama sendiri dalam membuat keputusan,” katanya.
Presiden Persatuan PKS Sabah Foo Ngee Kee berkata, kenyataan Shamsiah adalah seperti tamparan di muka kerajaan kerana bank pusat itu memberi gambaran ia tidak dirujuk sebelum dasar itu diumumkan oleh Perdana Menteri.