Tak patut kenakan caj lebih RM8,000 untuk hantar amah, kata duta Indonesia

Tak patut kenakan caj lebih RM8,000 untuk hantar amah, kata duta Indonesia

Hermono berkata, caj yang sepatutnya dikenakan oleh agensi pengambilan pembantu rumah Indonesia adalah antara RM7,000 hingga RM8,000 sahaja.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono memberi jaminan beliau akan bercakap dengan BP2MI, iaitu badan rasmi yang berurusan dengan ejen yang menghantar pekerja ke luar negara, mengenai kos tersebut.
PETALING JAYA:
Agensi pengambilan pembantu rumah Indonesia hanya perlu mengenakan bayaran sehingga kira-kira RM8,000 untuk menghantar pembantu rumah ke Malaysia, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono.

Merujuk kepada laporan FMT hari ini bahawa ejen di Jakarta pernah meminta antara RM10,000 hingga RM12,000 sebelum ini, beliau berkata, ia terlalu tinggi berdasarkan pengiraannya.

“Ini adalah perjanjian perniagaan. Saya telah kira dan dapati bahawa ia sepatutnya kurang daripada itu. Sepatutnya antara RM7,000 hingga RM8,000 sahaja,” katanya kepada FMT ketika dihubungi hari ini.

Hermono memberi jaminan beliau akan bercakap dengan Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI) mengenai kos tersebut kerana mereka adalah badan rasmi yang berurusan dengan ejen yang menghantar pekerja ke luar negara.

“Mereka sedar bahawa majikan Malaysia memerlukan pembantu rumah dengan segera. Pada masa yang sama, perniagaan ejen-ejen Indonesia ini terhenti sejak dua tahun lepas disebabkan wabak Covid-19.

“Saya akan bercakap dengan BP2MI mengenai perkara ini. Ayuh kita bekerjasama untuk menjadikannya semunasabah dan selancar yang mungkin untuk manfaat semua,” katanya.

Kedua-dua negara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) baharu mengenai pengambilan pembantu rumah semalam dengan memberi penekanan kepada perlindungan lebih baik bagi warga Indonesia yang dihantar bekerja di Malaysia.

Menurut agensi pengambilan pembantu rumah tempatan, pihak yang ingin mengupah pembantu rumah warga Indonesia perlu membayar antara RM15,000 dan RM16,000.

Kira-kira RM10,000 hingga RM12,000 daripada jumlah itu disalurkan kepada agensi pekerjaan Indonesia, menurut Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia Foo Yong Hooi.

Beliau memberitahu FMT, ejen Malaysia menggunakan bakinya untuk pembayaran levi kepada kerajaan, yuran pemprosesan di kedutaan, pengangkutan pembantu rumah dari lapangan terbang, pemeriksaan perubatan, insurans, kontrak pekerjaan dan kos-kos lain.

“Agensi Malaysia meraih keuntungan lebih rendah berbanding agensi Indonesia, tetapi kita perlu melakukan banyak perkara untuk membawa pembantu rumah warga Indonesia ke negara ini,” katanya.

Beliau mengulas gesaan Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto terhadap Putrajaya agar memberikan pecahan kos terperinci bagi pengambilan pembantu rumah bawah MoU yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.