
Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Awang Sariyan, berkata ini kerana bahasa Melayu mempunyai kira-kira 300 juta orang penutur dan turut digunakan di Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, Kemboja, Laos, Vietnam, Myanmar dan Timor Leste.
“Cadangan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob merupakan kesinambungan dan peningkatan usaha yang telah puluhan tahun dimulakan di peringkat serantau dan Indonesia yang sememangnya menjadi sahabat seperjuangan sejak hampir 50 tahun lalu.
“Usaha penyatuan negara ASEAN serantau menerusi faktor bahasa besar ertinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Ismail dilaporkan berkata, Malaysia dan Indonesia akan terus sama-sama memperkasakan bahasa rumpun Melayu yang berkemungkinan dijadikan bahasa ASEAN suatu hari nanti.
Beliau juga berkata, kedua-dua negara sepakat menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara pada di setiap persidangan antarabangsa.
Dalam pada itu, Awang Sariyan berkata, untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN, sokongan padu semua negara yang menggunakan atau memiliki penutur berbahasa Melayu amat diperlukan.