
Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, pembaharuan jangka panjang ekonomi adalah penting untuk perancangan dasar bagi menangani isu itu, manakala Carmelo Ferlito daripada Pusat Pendidikan Pasaran berkata, pemulihan akan mengambil masa bertahun-tahun selepas dua tahun berlaku “pemotongan secara sembarangan” untuk mengehadkan kerugian.
Mereka mengulas kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) minggu ini bahawa laluan ke arah pemulihan ekonomi adalah “jauh dari pasti” kerana risiko seperti hutang korporat yang tinggi kekal dan berpotensi menjejaskan prospek pemulihan.
Dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021, bank pusat itu berkata, ketidaktentuan ini wujud walaupun pertumbuhan ekonomi global tahun lepas mengalami pemulihan pantas dibantu oleh sokongan ekonomi dan kewangan berskala besar.

BNM menyatakan bahawa risiko yang berpunca daripada hutang korporat firma yang tinggi untuk menampung operasi semasa wabak boleh menjejaskan produktiviti jangka panjang.
Williams berkata, sekatan berkait Covid-19 telah menyebabkan pendapatan banyak firma Malaysia terjejas, dan memandangkan kos operasi perlu ditanggung, mereka mengambil pinjaman untuk menangani isu aliran tunai.
“Mereka mungkin mengambil lebih banyak pinjaman untuk membiayai pinjaman sebelum itu. Namun, ini menjadi sangat sukar untuk dibiayai jika jualan dan hasil tidak bangkit semula,” katanya kepada FMT.
Beliau mencadangkan pembaharuan undang-undang insolvensi untuk memudahkan penutupan syarikat yang dibebani hutang.

Ferlito berkata, kerajaan perlu mengubah pemahamannya tentang sistem ekonomi untuk menangani situasi seperti ini yang tidak pernah berlaku.
Pemulihan semasa terutamanya didorong oleh subsidi, bantuan dan perbelanjaan kerajaan, katanya.
Katanya lagi, sekatan sejak dua tahun lepas memberi tekanan kepada firma untuk terus bertahan.
Memandangkan sektor korporat Malaysia kebanyakannya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana, banyak firma yang cenderung kehabisan sumber cair terpaksa bergantung kepada sokongan daripada bank, katanya.
“Satu-satunya perkara yang boleh dilakukan untuk menyegerakan pemulihan ekonomi kepada keadaan sebelum wabak adalah menghapuskan setiap halangan yang mengakibatkan prospek perniagaan tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata, syarat perjalanan antarabangsa mulai 1 April masih terlalu ketat untuk memberi insentif kepada perniagaan manakala ketidakstabilan politik akan terus menjadi penghalang utama kepada ekonomi.
Apabila ditanya mengenai kesan hutang korporat tinggi yang tidak ditangani, Williams dan Ferlito bersetuju ia boleh mencetuskan krisis ekonomi yang lebih besar.
“Ini akan menghalang aktiviti perniagaan dan banyak syarikat yang berprestasi rendah akan tersandung, terus menjadi masalah bagi bank dan sektor kewangan sebagai hutang tidak berbayar,” kata Williams.