Umat Islam di Malaysia mula berpuasa 3 April

Umat Islam di Malaysia mula berpuasa 3 April

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja berkata, proses melihat anak bulan Ramadan berlangsung di 29 lokasi di seluruh negara hari ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan 1 Ramadan jatuh pada Ahad ini.
KUALA LUMPUR:
Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada Ahad (3 April), demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Syed Danial Syed Ahmad.

Syed Danial berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada Ahad, menurut perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, setelah diperkenankan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja menerusi kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah hari ini (Jumaat) bersamaan 29 Syaaban 1443 Hijrah.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam kenyataan itu turut menyatakan proses melihat anak bulan Ramadan berlangsung di 29 lokasi seluruh negara, antaranya di Pontian Kecil, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.

Setelah dua tahun umat Islam di negara ini menyambut Ramadan dalam keadaan negara masih berdepan pandemik Covid-19, kali ini ia akan disambut dalam fasa peralihan ke endemik yang bermula hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.