
Merujuk kepada satu dokumen tular di internet, beliau memberitahu FMT bahawa pejabatnya akan menyemak kesahihannya.
Dalam sepucuk surat bertarikh 3 Mac yang ditujukan kepada menteri itu, tercatat nota menyokong permohonan itu, namun menurut Saravanan, ia bukan nota daripadanya.
Surat itu meminta kelulusan khas bagi pengambilan pekerja untuk semua sektor tanpa sebarang temu duga dan tanpa tertakluk kepada sebarang ketetapan nisbah, iaitu amalan, yang menurut Kementerian Dalam Negeri pada Januari, akan dihentikan.
“Tidak, saya tak terima dokumen sebegitu,” kata Saravanan.
“Sebarang surat yang ditujukan kepada saya mesti dicop dengan nama pihak yang menghantarnya. Saya tak tahu siapa yang menghantarnya.
“Jika ia datang daripada Pejabat Perdana Menteri, mesti ada surat iringan daripada perdana menteri. Jika ia daripada menteri lain, setiausahanya akan melampirkan surat iringan.”
Beliau telah mengarahkan pejabatnya untuk mendapatkan butiran daripada syarikat itu, katanya, dan “menyemak sama ada ia benar atau tidak”.
Surat itu menyatakan bahawa tenaga kerja amat diperlukan untuk memenuhi permintaan pelanggan agar firma Malaysia kekal berdaya saing.
FMT tidak mendedahkan nama agensi pengambilan pekerja itu sementara menunggu maklum balas daripadanya.
Pada Januari, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, kuota khas tidak lagi diberikan untuk pengambilan pekerja asing.
Beliau berkata, setiap permohonan daripada majikan kini perlu melalui jawatankuasa penilaian kementerian untuk menentukan bilangan pekerja asing yang layak diambil mengikut terma dan syarat ditetapkan.