
Sambil menyifatkan pendirian Nor Shamsiah sebagai “cetek dan mundur”, Ahli Parlimen Ipoh Barat itu memberi amaran bahawa rakyat Malaysia tidak lama lagi mungkin tertarik untuk bekerja di negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia, di mana, katanya, gaji telah “meningkat secara drastik” selama ini.
“Saya menggesa BNM menarik semula kenyataannya dan memberikan idea yang lebih progresif seperti Model Gaji Progresif Singapura (PWM) yang memupuk dorongan untuk meningkatkan gaji pekerja melalui peningkatan kemahiran dan meningkatkan produktiviti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketika diminta mengulas mengenai gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa di seluruh negara pada 1 Mei, Nor Shamsiah berkata, ia perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi mengelakkan gangguan kepada ekonomi.
Katanya, firma yang paling terjejas dengan pandemik Covid-19 harus diberikan masa untuk menyesuaikan diri dengan gaji minimum baharu.
Gaji minimum baharu itu menyaksikan kenaikan 25% daripada gaji minimum sebelumnya, iaitu RM1,200 yang dilaksanakan pada 2020.
Dengan menyebut bahawa pelaksanaan gaji minimum baharu perlu mengambil kira pemulihan yang tidak sekata merentas industri, Nor Shamsiah juga berkata, adalah penting kenaikan itu dilakukan secara teratur untuk menyokong pertumbuhan dan mencegah inflasi.
Ketika mengingatkan Nor Shamsiah bahawa BNM pada 2018 telah mentakrifkan gaji sara hidup atau tahap pendapatan yang diperlukan bagi sesebuah isi rumah untuk mencapai taraf hidup minimum yang boleh diterima, Kula berkata, ia jauh lebih tinggi daripada gaji minimum baharu RM1,500.
“(BNM) menunjukkan bahawa gaji sara hidup di Kuala Lumpur bagi seorang dewasa bujang ialah RM2,700 (pada 2018). Bagi pasangan tanpa anak, RM4,500 dan pasangan dua anak RM6,500,” katanya.
“Namun ia kini membantu dalam usaha menghalang kenaikan gaji minimum sehingga RM1,500. Adakah BNM menentang dapatannya sendiri?
“BNM perlu sentiasa ingat bahawa sewaktu ia mewakili kerajaan dan majikan, pekerja juga adalah sebahagian daripada pihak berkepentingannya dan kepentingan mereka tidak boleh diabaikan.”