Golongan ‘kayangan’ beli minyak paket punca bekalan kurang, kata Rosol

Golongan ‘kayangan’ beli minyak paket punca bekalan kurang, kata Rosol

Rosol Wahid berkata, peniaga kedai makan dan restoran juga dikenal pasti menggunakan minyak paket sehingga menyebabkan kekurangan bekalan.

Rosol Wahid berkata, minyak masak paket bersubsidi sepatutnya hanya digunakan golongan berpendapatan rendah B40. (Gambar Bernama)
PASIR MAS:
Kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran sejak sebulan lalu disebabkan pembelian oleh golongan “kayangan”, khususnya T20 dan M20.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid berkata, minyak paket berkenaan sepatutnya hanya untuk golongan berpendapatan rendah, iaitu B40.

Katanya, kerajaan perlu berbelanja besar dengan memperuntukkan 60,000 tan minyak paket sebulan dengan subsidi yang diberikan setiap kilogram (kg) minyak antara RM2.50 sehingga melebihi RM3, bergantung kepada harga semasa.

“Kerajaan perlu berbelanja besar untuk barangan bersubsidi, contohnya minyak paket bagi 1kg dijual pada harga RM2.50, harga semasa adalah RM5 atau RM6. Untuk 1kg, kerajaan terpaksa menanggung kos melebihi RM3.”

Beliau berkata demikian selepas program Walkabout Pemantauan Pembukaan Sempadan Negara Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, pihaknya turut mengenal pasti peniaga kedai makan dan restoran yang menggunakan minyak berkenaan sehingga menyebabkan kekurangan bekalan.

“Kebanyakan peniaga dikesan menggunakan minyak paket ini. Sekiranya pihak kami ingin menjalankan siasatan dan melaksanakan penguatkuasaan, mereka akan menggunakan minyak mahal dan secara tidak langsung akan menjual barangan niaga lebih mahal.

“Isu ini bukan hanya berlaku di Kelantan, tetapi termasuk di Melaka, Negeri Sembilan dan sebagainya. Kalau tahun lepas isu ini didakwa berkait dengan kelewatan bayaran kepada syarikat pembungkusan semula yang lambat menyebabkan aliran tunai bermasalah, tetapi kita sudah bayar jadi tiada isu lagi.”

Ditanya sama ada kekurangan minyak paket itu turut berpunca daripada Program Jualan Keluarga Malaysia, Rosol berkata, untuk program itu, ia hanya melibatkan satu atau dua syarikat pembungkusan semula.

“Sedangkan setiap negeri ada lima sehingga enam syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi, jadi itu tidak ada isu.

“Apa yang kita tidak mahu, minyak berkenaan dibawa ke negara jiran,” katanya selain menambah bahawa penguatkuasaan dengan pasukan keselamatan terus dipergiatkan bagi mencegah barangan bersubsidi diseludup ke negara jiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.