
Tamil Selvi, tukang bersih sekolah, mendapati rumahnya dilelong pada 2020 tanpa pengetahuannya, walaupun dimaklumkan bank pada Februari tahun lalu bahawa beliau dan mendiang suaminya sudah menyelesaikan bayaran pinjaman mereka.
Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvam berkata, seorang wakil dari bank itu menghubungi Selvi dan memaklumkan mereka akan membantunya, dengan berkomunikasi dengan pemilik baharu rumah terbabit untuk melihat bagaimana mereka boleh menyelesaikan masalah itu.
Ketika ini, katanya, PSM tiada rancangan memulakan kutipan derma bagi Selvi, walaupun ramai yang menawarkan bantuan di media sosial.
“Kami tidak mahu mewujudkan situasi kebajikan memandangkan ini adalah isu hak. Ia memerlukan bank untuk menyelesaikan isu itu,” katanya kepada FMT.
Menurut laporan Malaysiakini, PSM menggesa CIMB membeli semula rumah itu dan mengembalikannya kepada Selvi kerana wanita itu sanggup membayar sebarang jumlah pinjaman tertunggak.
Tetapi, CIMB memberitahu portal itu, ia tidak boleh mengulas perkara berkaitan pelanggan mereka.
CIMB dipetik Malaysiakini sebagai berkata, ia komited untuk memastikan layanan adil kepada pelanggannya, termasuk mematuhi prosedur pemulihan standard dan mengadakan libat urus dengan pelanggan bagi menangani sebarang isu yang dihadapi mereka.