
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, 346 anggota kesihatan bertugas setiap syif di 75 pintu masuk antarabangsa (udara, laut dan darat) di seluruh negara mulai hari ini bagi memastikan semua protokol kesihatan dipatuhi.
“Secara keseluruhannya, KKM sangat berpuas hati dengan pembukaan sempadan, sama ada sempadan pintu masuk antarabangsa udara ataupun sempadan darat dengan Singapura dan Thailand.
“Dah berapa bulan kita buat persiapan, sebab kita nak lihat ini menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam sidang media selepas meninjau keadaan di klia2.
Pada masa sama, beliau meminta semua syarikat penerbangan memastikan pengembara mengisi butiran dalam aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan kad pengembara, sebelum mereka mendaftar masuk untuk menaiki pesawat ke Malaysia.
“Dari semasa ke semasa, kita akan tingkatkan komunikasi dengan syarikat penerbangan supaya pengembara mendapat kad pengembara sebelum datang ke sini. Sekarang mereka keluar pesawat, boleh terus ke kaunter imigresen dan keluar sahaja,” katanya.
Sementara itu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan, 119 penerbangan dijangka mendarat di lapangan terbang seluruh negara hari ini.
Daripada jumlah itu, 110 penerbangan dari bandaraya lain di seluruh dunia seperti Hong Kong, Incheon, Melbourne, New Delhi, Doha, Istanbul dan London akan tiba di KLIA.
Lima penerbangan dari Singapura dan dua dari Taipei akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi serta Lapangan Terbang Ipoh masing-masing menerima satu penerbangan dari Singapura.