
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana Perlis Ruzaini Rais berkata, pasangan terlibat perlu mendapatkan sijil pengesahan perkahwinan daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Thailand terlebih dahulu bagi memudahkan urusan pendaftaran pernikahan mereka di negeri ini.
Beliau berkata, sekiranya berlaku pernikahan di Thailand, pasangan terlibat pula tidak mendapatkan sijil pengesahan berkenaan, permohonan bagi mendaftarkan pernikahan itu dianggap tidak lengkap dan menyukarkan proses selanjutnya.
“Ramai pasangan yang berkahwin di sana tidak mendapatkan sijil pengesahan ini kerana syarat ditetapkan kerajaan Thailand adalah pihak terlibat perlu bermalam sehari di sana sebelum diberikan dokumen itu.
“Bila pasangan itu tidak mendapatkan sijil pengesahan pernikahan, ia menyukarkan mereka untuk mendaftarkan pernikahan di Perlis,” katanya kepada pemberita di pekarangan pintu masuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, hari ini.
Terdahulu, sewaktu sesi soal jawab lisan, Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji) bertanyakan Ruzaini mengenai langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi memudahkan proses buat pasangan yang bernikah di Thailand untuk mendaftarkan semula perkahwinan mereka di negeri ini.
Menurut Ridzuan, terdapat banyak kes pasangan tidak mendaftarkan pernikahan mereka di negara ini sehingga menyebabkan anak-anak turut terkesan, antaranya tidak dapat mendaftar untuk persekolahan.
Dalam pada itu, Ruzaini berkata, mahkamah syariah di Perlis juga tidak mewajibkan pihak yang ingin berpoligami memaklumkan perkahwinan mereka kepada isteri pertama, namun maklumat yang dikemukakan itu seharusnya lengkap.
“Jika maklumat tidak lengkap dan meragukan, mahkamah syariah akan memanggil isteri pertama bagi mendapat pengesahan,” katanya.