Pengeluaran khas RM10,000 tak akan jejas strategi pelaburan KWSP, kata CEO

Pengeluaran khas RM10,000 tak akan jejas strategi pelaburan KWSP, kata CEO

Amir Hamzah Azizan berkata KWSP sentiasa mempunyai kapasiti untuk melaksanakannya, namun tumpuan sepanjang masa adalah memulihkan simpanan ahlinya.

Amir Hamzah Azizan berkata strategi pelaburan KWSP tidak akan terjejas susulan kemudahan pengeluaran khas RM10,000 yang boleh dipohon ahlinya bermula esok. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kemudahan pengeluaran khas RM10,000 tidak akan menjejaskan strategi pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2022, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, KWSP sentiasa mempunyai kapasiti untuk melaksanakannya, namun tumpuan sepanjang masa adalah untuk membantu ahli memulihkan simpanan selepas pengeluaran kerana penting untuk mereka mempunyai keseimbangan bagi persaraan jangka panjang.

“Skim tersebut telah dibenarkan oleh kerajaan dan ia akan dilaksanakan, KWSP akan menyokong sepanjang tempohnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Polisi Pelaburan Mampan KWSP dan Ikrar Pengurus Dana Luar, di sini, pada Khamis.

Polisi tersebut dilancarkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Pada 16 Mac, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik Covid-19.

Ahli KWSP boleh mula memohon bagi pengeluaran khas itu menerusi portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my yang juga boleh diakses melalui aplikasi mudah alih i-Akaun bermula esok, 1 April.

Selain itu, Amir berkata, KWSP amat yakin dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa negara yang ditetapkan esok dan akan boleh merangsangkan landskap pelaburan meliputi pelabur asing dan domestik.

“Pembukaan semula sempadan adalah baik untuk Malaysia, jadi ia mendorong menggalakkan dan semua perkara bergerak semula.

“Dari sudut pandang portfolio pelaburan, kami yakin Malaysia akan menyaksikan pertumbuhan kembali semula ke dalam negara, dan bagi kami, ia penting kerana portfolio domestik merupakan pendorong yang amat kukuh bagi kami dalam ruang ini,” katanya.

Beliau berkata, KWSP terus mempelbagaikan pelaburannya, dan giat meninjau peluang lebih baik dengan Malaysia kekal sebagai pasaran utama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.