
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, pekerjaan yang memerlukan tenaga seperti sektor kilang, pemandu dan tukang masak adalah antara kerja yang tidak di boleh dibuat dari rumah.
“Tapi kita tahulah apa jawapan daripada majikan mesti tak setuju tapi saya rasa perkara ini boleh difikirkan, dikaji kebaikannya kalau pekerja awam, mungkin dah ada kajian,” katanya kepada FMT.
Kamarul berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan membenarkan penjawat awam yang baharu kematian suami atau isteri diberikan kemudahan bekerja dari rumah selama tempoh tidak melebihi dua minggu bagi membantu mengurangkan rasa kesedihan dan meningkatkan produktiviti mereka.
Dengan kemudahan itu, ketua jabatan harus membenarkan penjawat kerajaan untuk bekerja dari rumah selepas mengambil cuti ihsan kerana pemergian suami atau isteri masing-masing.
Mengulas lanjut, Kamarul berkata, pertimbangan harus diberikan kepada sektor swasta kerana mereka juga ‘manusia’ dan semua pihak tidak boleh menafikan tekanan yang dialami selepas kematian pasangan.
“Kalau penjawat awam diberikan kelebihan, wajar dipanjangkan kepada sektor swasta kerana penjawat awam itu mereka ambil (keputusan) dari sudut kemanusiaan dan begitu juga dalam sektor swasta juga.
“Caranya sama sahaja, mereka adalah pekerja. Kalau kerajaan memikirkan untuk beri kemudahan itu kepada pekerja, wajarlah syarikat swasta memikirkan perkara sama, baharulah selaras dengan aspirasi kerajaan,” katanya.