Kebenaran akan selamatkan suami saya, kata isteri Ng

Kebenaran akan selamatkan suami saya, kata isteri Ng

Isteri Roger Ng berkata dia tidak perlu melakukan apa-apa untuk suaminya dalam perbicaraan berhubung skandal 1MDB tetapi 'kebenaran itu sendiri akan menyelamatkannya'.

Roger Ng adalah satu-satunya pegawai bank Goldman Sachs Group Inc yang dibicarakan di Amerika Syarikat (AS) berhubung penyelewengan dana 1MDB. (Gambar AP)
NEW YORK:
Isteri bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng memberitahu juri dalam perbicaraan suaminya berhubung skandal 1MDB bahawa “kebenaran itu sendiri akan menyelamatkannya”.

Lim Hwee Bin adalah saksi pembelaan terakhir memberi keterangan pada Rabu bagi pihak suaminya dalam perbicaraan selama enam minggu.

Ng adalah satu-satunya pegawai bank Goldman Sachs Group Inc yang dibicarakan oleh Amerika Syarikat (AS) berhubung penyelewengan 1MDB.

Dia dituduh bersubahat dengan bekas bosnya, Tim Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk menyelewengkan berbilion dolar daripada dana itu dengan Goldman mengatur tiga urus niaga bonnya.

Pada hari kedua pemeriksaan balas, pendakwa raya Alixandra Smith menyoal Lim mengenai dakwaannya bahawa wang US$35 juta, yang menurut kerajaan merupakan wang sogokan kepada Ng, hanyalah keuntungan daripada pelaburan berasingan yang sah bersama bekas isteri Leissner.

Smith turut bertanyakan kepada Lim mengenai reaksinya terhadap sebuah artikel pada Jun 2018 dalam akhbar Singapura yang melaporkan bahawa pegawai di Malaysia akan menahan Low dan Ng.

“Adakah ia mengecewakan kamu?” soal Smith.

“Saya tidak akan guna perkataan ‘kecewa’, tetapi ia agak menjengkelkan apabila namanya muncul,” kata Lim.

Smith mencadangkan bahawa Lim memberi keterangan dalam usaha untuk melindungi suaminya.

“Tidak, saya tidak perlu melindungi Roger,” kata Lim.

“Saya tidak mahu melihat dia disabitkan atas kesalahan jenayah. Kebenaran itu sendiri akan menyelamatkannya. Saya tidak perlu melakukan apa-apa untuknya.”

Kerajaan AS berkata, Low membayar wang sogokan bernilai berjuta-juta dolar kepada pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi dalam penipuan global, selain membayar sogokan kepada Leissner dan Ng.

Selepas pihak pembelaan membuat kesimpulan, pihak pendakwa memanggil dua kakitangan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sebagai saksi sanggahan.

Seorang daripada saksi pendakwaan membuat analisis kewangan andaian untuk menyangkal dakwaan Lim bahawa pelaburan awal sebanyak USD$830,000 yang dibuat sekitar tahun 1998, meningkat kepada USD$34.9 juta menjelang 2005, yang didakwanya merupakan hasil pelaburan dalam perniagaan yang berpangkalan di China milik keluarga Judy Chan Leissner.

Kerajaan dijangka menutup kesnya apabila perbicaraan bersambung Isnin. Juri akan mendengar hujah penutup daripada kedua-dua pihak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.