Hantaran FB berkait nepotisme tak dituju kepada Dzulkefly, kata Najib

Hantaran FB berkait nepotisme tak dituju kepada Dzulkefly, kata Najib

Najib Razak berkata hantaran di Facebook itu bagi menonjolkan hipokrasi dalam gabungan Pakatan Harapan ketika berkuasa.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata beliau tidak berniat memfitnah Dzulkefly Ahmad dalam hantarannya pada 14 Ogos 2020.
PETALING JAYA:
Najib Razak menafikan beliau merujuk kepada Dzulkefly Ahmad dalam hantaran di Facebook dua tahun lalu, sebagai menjawab saman fitnah dikemukakan bekas Menteri Kesihatan itu.

Bekas Perdana Menteri berkata, beliau tidak berniat memfitnah Dzulkefly, dalam hantaran dimuat naik, pada 14 Ogos 2020.

“Defendan (Najib) menyatakan hantaran yang disangkal itu hanya merujuk kepada gabungan Pakatan Harapan (PH),” kata penyataan pembelaan difailkan Tetuan Shafee & Co, dua hari lalu.

Penyataan itu berkata, Najib membuat hantaran berkenaan bagi menonjolkan “hipokrasi” dalam gabungan PH dalam mendakwa berlakunya nepotisme dan kronisme dalam pelantikan politik, terhadap gabungan politik defendan.

Ia merujuk kepada pelantikan di pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) walaupun pada dasarnya ketika PH menjadi kerajaan (bermula Mei 2018 hingga Februari 2020) turut melakukan pelantikan serupa, kata penyataan itu.

Penyataan itu berkata, hantaran dibuat Ahli Parlimen Pekan itu dikepilkan bersama tangkap layar daripada Sinar Harian dan tindakan itu dibuat bagi membenarkan orang awam secara adil menilai isu dibangkitkan, termasuk menyediakan ruang kepada Dzulkefly menyatakan pendirian.

“Defendan seterusnya menyatakan beliau tidak mempunyai kawalan ke atas tajuk disiarkan Sinar Harian dan bahawa writ tindakan ini dibuat dengan niat jahat (mala fide) kerana defendan disaman secara terpilih untuk mendapatkan perbatuan politik susulan populariti pliantif semakin berkurangan,” kata penyataan itu.

Katanya, Dzulkefly bersikap selektif kerana tiada tindakan diambil terhadap Sinar Harian berhubung artikel itu sendiri, sebaliknya menyasarkan kepada Najib semata-mata.

Najib turut membangkitkan pembelaan justifikasi, perlindungan bersyarat dan komen berpatutan sekiranya mahkamah mendapati dirinya bertanggungjawab melakukan fitnah.

Dzulkefly memfailkan saman pada 31 Dis tahun lalu berhubung hantaran Facebook Najib yang beliau mengamalkan nepotisme kerana anak perempuannya, Nurul Iman, dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia, pada 2019.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu bagaimanapun menafikan tuduhan nepotisme berkenaan, dengan menyatakan hantaran dibuat Najib dalam akaun Facebook itu masih ada, sehingga November 2021.

Beliau mendakwa pelantikan Nurul Iman dibuat sebelum dilantik sebagai Menteri Kesihatan dalam kerajaan PH dan anak perempuannya itu dilantik semula dalam jawatan di agensi mikrokredit berkenaan, awal tahun lalu.

“Najib, dengan niat jahat, membuat tuduhan tanpa soal selidik, menyaksikan hantaran itu dikongsi 970 kali oleh pengikutnya.

“Hantaran Facebook itu disunting enam kali dan ini menunjukkan beliau merancang penerbitannya untuk memfitnah saya,” katanya.

Peguam Dzulkefly, Peguam SN Nair, berkata pengurusan kes akan berlangsung di depan Pesuruhjaya Kehakiman Arief Emran Arifin, pada 14 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.