VK Lingam gagal rayuan terakhir ketepi larangan jadi peguam

VK Lingam gagal rayuan terakhir ketepi larangan jadi peguam

Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel 3 hakim berkata, LTPP telah memberikan alasannya untuk menggugurkan Lingam daripada senarai peguam.

Bekas peguam, VK Lingam, terbabit dalam skandal pelantikan hakim pada 2001.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan bahawa bekas peguam, VK Lingam, yang terbabit dalam skandal mengatur pelantikan hakim pada 2001, dilarang daripada mengamalkan undang-undang.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, menolak rayuan terakhir Lingam.

Tengku Maimun, yang bersidang bersama Mary Lim dan Zabidin Mohd Diah, berkata, Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguam Cara (LTPP) telah memberikan alasannya untuk menggugurkan Lingam daripada senarai peguam berikutan perintah pada 6 Nov 2015.

“Oleh itu, campur tangan rayuan tidak wajar dan keputusan Mahkamah Rayuan disahkan,” katanya.

Ketua hakim itu berkata, Lingam telah menyamakan aduan dibuat terhadapnya dan prosiding selepas itu sebagai “tuduhan” atau prosiding jenayah.

“Mahkamah Persekutuan mengingatkan dengan tegas bahawa prosiding jawatankuasa tatatertib tidak boleh dianggap sebagai prosiding jenayah,” katanya.

Katanya, Lingam sudah diberikan hak untuk didengar dan menangani aduan terhadapnya.

Tengku Maimun berkata, tuduhan spesifik terhadap Lingam adalah dia campur tangan dalam pelantikan kehakiman dan tuduhan itu membabitkan salah laku.

“Ia berkaitan langsung dengan kelakuannya tidak mengira sama ada dia berlakon bersendirian atau bersama dengan orang lain,” katanya.

Beliau menambah, boleh dipertikaikan lagi bahawa jawatankuasa tatatertib, lembaga disiplin, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, kesemuannya secara serentak membuat penemuan bahawa Lingam telah menggangu pelantikan kehakiman.

Tengku Maimun berkata, peguam Lingam, R Thayalan mendakwa anak guamnya tidak dapat menyanggah akaun Loh Gwo Burne yang mendengar perayu (Lingam) cuba campur tangan pelantikan kehakiman.

“Menjadi pandangan kami bahawa tidak kira pelantikan kehakiman mana yang sebenarnya cuba dicampur tangan oleh perayu (Lingam) dan penemuan setakat itu tidak relevan,” katanya.

Perkara paling penting, Tengku Maimun berkata, mendapati penemuan berhubung percubaan campur tangan Lingam itu tidak dapat disangkal.

Berhubung kebolehterimaan video yang dikemukakan bagi membuktikan salah laku, Tengku Maimun berkata, Lingam berhujah ia bukan asli, tetapi ia adalah salinan dimuat turun dan tidak menjadi keterangan sekunder.

“Faktanya kekal bahawa pembuat video asli itu (yang dikatakan dibuat pada 2001) dipanggil untuk memberi keterangan berhubung video itu. Ia adalah Loh Gwo Burne,” katanya.

Dalam kata lain, selain daripada kesahihan video itu, Gwo Burne adalah orang yang secara langsung menyaksikan Lingam bercakap melalui telefon seperti yang didakwa dalam video berkenaan.

“Kami berpuas hati bahawa Gwo Burne sebenarnya memberi keterangan berhubung video itu dan mengesahkan kandungannya diucapkan oleh perayu (Lingam),” katanya selain menambah bahawa Lingam tidak mencabar perkara itu.

Panel hakim memerintahkan Lingam, yang dipercayai berada di luar negara, membayar kos RM30,000 kepada lembaga dan Majlis Peguam yang diwakili Razlan Hadri Zulkifli.

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh hakim Lee Swee Seng berkata, Mahkamah Tinggi adalah betul dalam mengekalkan penemuan lembaga tatatertib untuk menggugurkan nama Lingam daripada senarai peguam.

Lee berkata, penemuan lembaga untuk menerima keterangan Gwo Burne dan bapanya, Mui Fah bahawa Lingam sedang berkomunikasi melalui telefon dengan ketua hakim Malaya ketika itu, iaitu Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, adalah wajar.

Suruhanjaya Siasatan Diraja juga telah mengesyorkan supaya tindakan diambil terhadap Lingam, Fairuz, bekas ketua hakim negara Eusoff Chin, taikun, Vincent Tan, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri Tengku Adnan Mansor.

Bagaimanapun, tiada tindakan susulan diambil walaupun selepas polis melakukan siasatan.

Dalam siasatan itu didedahkan bahawa Lingam terlibat dalam perbualan telefon dengan Fairuz pada 2001 untuk melantik hakim mahkamah atasan yang akan selari dengan kerajaan.

Video itu menjadi domain awam pada 2007, yang membawa kepada kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang membuat beberapa cadangan, antaranya menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman untuk mencadangkan nama hakim untuk dinaikkan pangkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.