Serap surcaj tenaga atau harga barang akan naik, kerajaan diberitahu

Serap surcaj tenaga atau harga barang akan naik, kerajaan diberitahu

Pelaksanaan surcaj itu menyumbang kenaikan bil elektrik 15-20% yang disifatkan terlalu besar untuk ditanggung dan kos terpaksa dialihkan kepada pengguna.

Persatuan peruncit berkata, kenaikan kadar elektrik akhirnya akan memberi kesan kepada pengguna.
PETALING JAYA:
Sebanyak 11 persatuan peruncit mendesak kerajaan menghentikan surcaj elektrik dikenakan terhadap pengguna komersial dan industri bermula 1 Feb lepas, selain memberi peringatan bahawa pengguna terpaksa menanggung kos susulan kenaikan harga barang.

Mereka bagaimanapun mencadangkan supaya kerajaan menyerap surcaj tersebut bagi mendepani tekanan inflasi, susulan kos pengeluaran tinggi menyebabkan kenaikan bil tenaga.

“Sekiranya kerajaan bertindak menyerap surcaj berkenaan, ia akan mengurangkan kos sara hidup dan memberi lebih peluang kepada pengguna, perniagaan dan akhirnya ekonomi untuk dihidupkan kembali dan pulih semula,” kata persatuan itu dalam kenyataan bersama, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama antaranya oleh Persatuan Pengurusan Bangunan Malaysia (BMAM), Persatuan Malaysia REIT Chain (MRCA), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) dan Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO).

Surcaj 3.7 sen/kWj dikenakan terhadap semua pengguna bukan domestik seperti syarikat komersial dan industri bermula 1 Feb.

Suruhanjaya Tenaga berkata, kos pengeluaran elektrik meningkat 45% kesan kenaikan harga arang batu dengan bahan mentah itu digunakan secara meluas di Semenanjung bagi menjana kuasa.

Kumpulan peruncit itu berkata, pelaksanaan surcaj itu menyumbang kepada kenaikan bil elektrik sehingga 15-20%, selain mengatakan bahawa jumlah itu “terlalu besar” dan terpaksa dialihkan kepada pengguna.

“Ini akan diterjemahkan kepada kos menjalankan perniagaan yang meningkat dan membawa kepada harga yang lebih tinggi kerana kesan daripada bahan mentah, pembuatan, pengangkutan, kos pegangan stok dan sebagainya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.