
Selain menteri kewangan dan menteri kesihatan, prosiding bermula pertengahan April depan turut memanggil Jabatan Perdana Menteri selaras dengan kedudukannya sebagai punca kuasa jawatankuasa ini mengikut Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Tonton video di sini.
Selain itu, PAC juga akan menggunakan punca kuasa mengikut Peraturan Mesyuarat 83(2) serta Perkara 11(b) Pekeliling Am Bil 2 Tahun 1982 dalam mengendalikan prosiding ini.
Baru-baru ini, PAC mempersoalkan pengambilalihan MySejahtera oleh MySJ Sdn Bhd daripada KPISoft, atau kini dikenali sebagai Entomo Malaysia.
Kabinet dilaporkan sudah memberikan “lampu hijau” kepada Kementerian Kesihatan pada November, untuk melantik MySJ mengambil alih aplikasi itu menerusi runding terus.
Sebelum ini, Khairy menegaskan aplikasi itu adalah kepunyaan kerajaan dengan kementeriannya dilantik sebagai “pemilik asal” MySejahtera bagi pengurusan kesihatan awam negara.
Wong berkata, PAC berpandangan isu berhubung pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera perlu dijelaskan secara telus di hadapan jawatankuasa itu sebagai sebuah jawatankuasa nonpartisan atas kepentingan rakyat dan negara.
“Khasnya mengenai pelantikan sebuah syarikat swasta sebagai pengendali aplikasi MySejahtera secara rundingan terus serta kos yang terlibat.
“Tambahan pula ia membabikan isu berhubung keselamatan data peribadi rakyat sekali gus mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab daripada mengambil kesempatan atas maklumat peribadi rakyat,” kata Wong.