
Ini akan disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan luar, penarikan balik sepenuhnya langkah-langkah pembendungan, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan keadaan pasaran buruh/tenaga kerja yang semakin baik, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
“Selain itu, pelaksanaan projek-projek pelaburan dan langkah dasar yang disasarkan akan memberikan sokongan seterusnya kepada aktiviti ekonomi dan permintaan agregat,” kata bank pusat itu dalam laporan Kajian Ekonomi dan Kewangan 2021 (EMR 2021) yang dikeluarkan pada Rabu.
BNM berkata, pemulihan sektor swasta yang lebih kukuh yang disokong oleh penambahbaikan pasaran buruh/tenaga kerja akan menjadi pemacu pertumbuhan utama pada 2022.
Kadar pengangguran dijangka turun kepada 4.0% daripada tenaga buruh pada 2022
“Apabila aktiviti ekonomi meningkat, kadar pengangguran dijangka terus berkurangan pada 2022 kepada kira-kira 4.0% daripada tenaga buruh, disokong oleh langkah-langkah yang disasarkan untuk melonjakkan permintaan buruh, memudahkan kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran serta mengurangkan geseran pasaran buruh,” kata bank pusat itu.
Ia menambah bahawa pemulihan berterusan dalam pekerjaan dan pendapatan dijangka memacu peningkatan dalam perbelanjaan isi rumah, manakala kemajuan dalam vaksinasi dan penarikan balik langkah-langkah pembendungan akan membawa kepada peningkatan dalam keyakinan pengguna selain beberapa permintaan terpendam akan direalisasikan.
“Hasilnya, penggunaan swasta dijangka melonjak 9.0% (2021: naik 1.9%) manakala pelaburan swasta juga diunjur pulih, meningkat 5.3% pada 2022 daripada 2.6% pada 2021, disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan global dan pelaksanaan projek pelaburan baharu dan yang sedang dijalankan,” katanya.
Mengenai pelaburan awam pula, BNM berkata, ia diunjurkan berkembang 9.6% pada 2022 berbanding penguncupan 11.4% tahun lepas, didorong oleh perbelanjaan modal yang berterusan oleh kerajaan dan syarikat awam.
“Penggunaan awam dijangka berkembang 1.2% pada 2022 daripada 6.6% pada 2021, penyederhanaan itu disebabkan oleh pertumbuhan yang lebih perlahan dalam emolumen dan penguncupan dalam perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan,” katanya.
Ia menyebut bahawa langkah-langkah dasar yang disasarkan dijangka kekal untuk memudahkan momentum pemulihan.
Walaupun menyedari bahawa langkah-langkah pembendungan yang lebih meluas berpotensi untuk dilaksanakan semula disebabkan peningkatan semula penularan Covid-19 seperti kemunculan varian membimbangkan (VOC) yang teruk dan tahan vaksin merupakan risiko penurunan utama kepada pertumbuhan domestik, BNM tetap mengunjurkan risiko keseluruhan condong ke arah bawah.
“Pertumbuhan global yang lebih tinggi daripada jangkaan dan peningkatan lebih kukuh daripada jangkaan dalam sektor berkaitan pelancongan di tengah-tengah pembukaan semula sempadan menimbulkan risiko meningkat kepada pertumbuhan domestik,” katanya.
Semua sektor ekonomi diunjurkan berkembang pada 2022, diterajui sektor perkhidmatan
Menurut BNM, semua sektor ekonomi diunjurkan berkembang pada 2022, dengan sektor berorientasikan eksport terus mendapat manfaat daripada permintaan luar dan pengembangan kapasiti pengeluaran domestik yang kukuh.
Katanya, sektor perkhidmatan dijangka menyaksikan pertumbuhan tertinggi sebanyak 6.9% daripada 1.9% pada 2021, diikuti pembinaan (6.1% daripada -5.2% pada 2021), pembuatan (5.2% daripada 9.5% pada 2021), perlombongan dan kuari (2.5% daripada 0.7% pada 2021) dan pertanian (1.5% daripada -0.2% pada 2021).
Bank pusat itu menambah jangkaan pertumbuhan yang lebih tinggi bagi sektor perkhidmatan akan diterajui oleh subsektor berkaitan pengguna dan pelancongan; pertumbuhan dalam sektor pembuatan akan disokong oleh kelompok atau kluster elektrik dan elektronik (E&E) berikutan permintaan global yang berterusan; dan pemulihan dalam sektor pertanian akan dipacu terutamanya oleh pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi.
Bagi sektor perlombongan, BNM berkata, ia dijangka mencerminkan peningkatan berterusan dalam pengeluaran minyak mentah dan gas asli susulan pengoperasian kemudahan baharu seperti projek gas Pegaga di luar pantai Sarawak; manakala pertumbuhan dalam sektor pembinaan dijangka pulih berikutan pembukaan semula ekonomi.