Gaji minimum baharu perlu dilaksana secara progresif, kata BNM

Gaji minimum baharu perlu dilaksana secara progresif, kata BNM

Masa diperlukan untuk menyesuaikan diri dan pendekatan berperingkat oleh kerajaan akan membantu, kata Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 bagi pekerja akan berkuat kuasa pada 1 Mei.
PETALING JAYA:
Dasar gaji minimum baharu perlu dilaksanakan secara progresif bagi mengelakkan gangguan kepada ekonomi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Shamsiah Mohd Yunus.

“Penting untuk langkah dasar seperti ini dilakukan secara teratur bagi menyokong pertumbuhan, bukan langkah inflasi,” katanya pada sidang media hari ini.

“Kita perlu beri masa bagi firma yang terkesan untuk menyesuaikan diri dan pendekatan berfasa seperti yang diumumkan kerajaan akan membantu.”

Tonton video di sini.

Gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 akan berkuat kuasa pada 1 Mei, iaitu lonjakan 25% daripada gaji minimum sebelum ini sebanyak RM1,200 yang ditetapkan pada 2020.

Nor Shamsiah turut menekankan kepentingan untuk membuat pembaharuan dasar dengan tepat, terutamanya memandangkan ekonomi baru bangkit daripada kesan wabak Covid-19 dan menangani ketidaktentuan yang semakin meningkat akibat ketegangan geopolitik.

Tambahnya, dalam keadaan semasa, pelaksanaan gaji minimum baharu perlu mengambil kira pemulihan yang tidak sekata dalam semua industri.

Perlu juga ada peta hala tuju yang jelas dan telus bagi semua firma agar mereka dapat merancang dengan baik ke arah pemulihan, katanya lagi.

“Apa yang mesti kita lakukan adalah meminimumkan gangguan,” kata Nor Shamsiah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.