Bekas pegawai bank 1MDB diberi amaran ‘karma buruk’ sebelum skandal terbongkar

Bekas pegawai bank 1MDB diberi amaran ‘karma buruk’ sebelum skandal terbongkar

Pakar feng shui beri amaran kepada Tim Leissner bahawa sebarang perkara buruk yang akan terjadi akan berpunca dari dirinya sendiri.

Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng, dan isterinya Lim Hwee Bin dikatakan meminta nasihat pakar feng shui setiap tahun menjelang Tahun Baru dan setiap kali mereka mencari rumah atau pejabat baharu. (Gambar Reuters)
NEW YORK:
Isteri bekas pegawai bank Goldman Sachs yang dibicarakan berhubung skandal 1MDB memberitahu juri bahawa pakar feng shuinya memberi amaran kepada bos suaminya tentang “karma buruk” – tilikan yang nampaknya menjadi kenyataan.

Isteri Roger Ng, Lim Hwee Bin, memberi keterangan bagi pihak Ng semalam pada perbicaraan Ng yang berdepan tuduhan konspirasi berkait penyelewengan dana 1MDB.

Lim memberitahu juri bahawa beliau dan suaminya mengatur bacaan feng shui dengan “Master Pang” untuk bos Ng, Tim Leissner, pada 2015 dan 2016.

Leissner, yang mengaku bersalah dan kini bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam kes terhadap Ng, memberi keterangan bahawa pakar tersebut memberitahunya, seorang “perempuan” akan “membantunya pada masa hadapan.”

Katanya, apabila dia bertemu dengan Lim dan Ng untuk membincangkan salah satu bacaan feng shui itu, ketiga-tiga mereka bersetuju untuk memberitahu pihak berkuasa “cerita rekaan” bagi menjelaskan sogokan USD35 juta untuk Ng.

Bagaimanapun, Lim semalam memberitahu panel persekutuan di Brooklyn, New York, bahawa wanita berkenaan adalah anak perempuan Leissner. Pertemuan itu hanya untuk membincangkan bacaan feng shui, katanya.

Feng shui adalah amalan lazim dalam masyarakat Cina di Asia dan digunakan untuk membaca tanda-tanda dan aliran tenaga yang baik mahupun buruk.

Lim memberitahu juri, beliau dan suaminya menerima nasihat pakar feng shui tersebut setiap tahun menjelang Tahun Baru dan setiap kali mereka mencari rumah atau pejabat baharu.

“Jangan undang karma buruk,” beritahu Pang kepada Leissner, menurut keterangan Lim.

“Sebarang perkara buruk yang akan terjadi akan datang dari mulut kamu sendiri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.